
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Luar segera menyelaras usaha mengenal pasti serta membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir besar di Nepal.
- Agensi diminta segera dapatkan maklumat rakyat Malaysia dan hubungi kementerian serta Kedutaan Malaysia di India dan Kathmandu.
- Kebimbangan meningkat selepas keluarga gagal menghubungi lebih 50 rakyat Malaysia dipercayai berada di Nepal.
- Akses jalan dan rangkaian komunikasi terputus, menyukarkan usaha mendapatkan maklumat dan bantuan di kawasan terjejas.
- Kedutaan minta keluarga kemukakan butiran pasport dan maklumat perjalanan; kerajaan akan guna semua saluran untuk bantuan teratur.
Beliau berkata, semua agensi berkenaan diminta segera mendapatkan maklumat mengenai keadaan rakyat Malaysia di negara itu selain menghubungi kementerian berkaitan serta Kedutaan Malaysia di India dan Kathmandu bagi mempercepatkan usaha bantuan.
“Saya dah minta semua jabatan, termasuk MKN dan NADMA, dan Kementerian Luar untuk segera mengenal pasti dan hubungi kementerian dan kedutaan kita, kedua-duanya dekat India dan di Kathmandu untuk menyegerakan usaha-usaha membantu mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan National Innovation and Commercialization Expo (NICE) 2026 hari ini.
Arahan itu dibuat susulan bencana banjir besar yang melanda kawasan utara Nepal, ketika keluarga dilaporkan gagal menghubungi lebih 50 rakyat Malaysia yang dipercayai berada di negara berkenaan.
Sebelum ini, Wisma Putra memaklumkan Kedutaan Malaysia di Kathmandu menerima laporan kehilangan komunikasi dengan 11 rakyat Malaysia yang dipercayai berada di daerah Rasuwa, antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu menunjukkan jumlah rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi mungkin lebih tinggi, dengan Kedutaan Malaysia di Kathmandu terus mengumpulkan maklumat daripada keluarga dan pihak berkaitan.
Akses jalan raya ke beberapa kawasan terjejas turut terputus atau terganggu akibat banjir Sungai Bhote Koshi, manakala kerosakan infrastruktur komunikasi menyukarkan usaha mendapatkan maklumat mengenai mereka yang terputus hubungan.
Banjir berkenaan turut mengorbankan lebih 160 orang, manakala ratusan lagi termasuk pelancong dan anggota keselamatan Nepal masih belum diketahui nasib mereka.
Dalam pada itu, Kedutaan Malaysia di Kathmandu sebelum ini meminta rakyat Malaysia yang cuba mengesan ahli keluarga atau rakan mereka supaya mengemukakan butiran pasport dan maklumat perjalanan kepada kedutaan bagi tujuan penyelarasan.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan akan terus menggunakan semua saluran berkaitan bagi memastikan usaha mengenal pasti dan membantu rakyat Malaysia di Nepal dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.