
PUTRAJAYA, 27 Ogos – Dua kenamaan, masing-masing bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan, tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi prosiding permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
- SPRM menahan individu selepas mereka hadir ke ibu pejabat bagi membantu siasatan berkaitan dapatan RCI TH.
- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH yang ditahan Jumaat lalu direman seminggu dan dijangka hadapi proses reman lanjutan.
- SPRM tubuhkan pasukan khas untuk meneliti dapatan RCI TH, termasuk isu rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 60-an itu tiba di mahkamah terbabit kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Mereka ditahan SPRM kira-kira pukul 4.00 petang semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung dapatan dan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Turut kelihatan hadir di mahkamah sama ialah seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH berusia lingkungan 60-an yang dijangka berdepan proses lanjutan reman.
Beliau sebelum ini telah ditahan SPRM pada Jumaat lalu dan direman selama seminggu sehingga hari ini selepas permohonan diluluskan Majistret Ezrene Zakariah.
Siasatan berkenaan susulan laporan RCI TH yang meliputi isu pengurusan dan operasi institusi tersebut bagi tempoh 2014 hingga 2020.
SPRM juga telah menubuhkan pasukan khas bagi meneliti dapatan laporan RCI berkenaan, merangkumi sebarang isu perundangan yang mempunyai unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram.
Terdahulu pada 21 Ogos lalu, seramai tujuh individu turut ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes yang sama.
Mereka terdiri daripada seorang bekas ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat pembinaan, serta lima individu lain bagi melengkapkan siasatan RCI tersebut.