Kerajaan teliti mekanisme kawal selia, pendaftaran platform e-dagang

Datuk Seri Fahmi Fadzil/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 26 Ogos – Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi akan mengambil tindakan segera untuk melaksanakan proses kawal selia termasuk pendaftaran platform e-dagang bagi memastikan kepentingan dan keselamatan pengguna terus dilindungi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menegaskan perlindungan pengguna dan pembeli di platform e-dagang sebagai keutamaan dalam sebarang tindakan.
  • Contohnya, produk elektrik dan elektronik perlu mematuhi piawaian SIRIM; produk berstatus halal mesti mematuhi piawaian halal negara.
  • MCMC mencatat 1,964 aduan sejak 1 Jan 2025 hingga 25 Ogos 2026, termasuk aduan produk elektrik dan isu status halal.

Jurucakap Kerajaan MADANI yang juga Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, susulan aduan diterima Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada orang awam, termasuk pengusaha platform e-dagang dan peniaga kedai fizikal.

“Berdasarkan aduan yang diterima, hasrat kerajaan adalah untuk memastikan pengguna sentiasa dilindungi. Dalam mengambil sebarang tindakan, kepentingan pengguna dan pembeli di platform e-dagang sentiasa menjadi keutamaan.

“Kita tidak berhasrat untuk menutup platform berkenaan, tetapi memastikan produk yang dijual mematuhi piawaian ditetapkan.

“Contohnya, produk elektrik dan elektronik perlu mematuhi piawaian SIRIM, manakala produk yang mempunyai status halal mesti mematuhi piawaian halal yang diguna pakai di negara ini,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Sementara itu, Datuk Seri Fahmi turut memaklumkan bahawa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima sebanyak 1,964 aduan berkaitan penjualan produk di platform e-dagang atau perkara berkaitan platform berkenaan sejak 1 Januari 2025 hingga 25 Ogos 2026.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,147 aduan diterima sepanjang 2025 manakala 817 aduan direkodkan dari 1 Januari hingga 25 Ogos 2026. Sebanyak 118 aduan daripada jumlah keseluruhan tersebut masih dalam tindakan MCMC.

Antara aduan yang diterima termasuk 161 aduan berkaitan produk elektrik atau elektronik, manakala empat aduan melibatkan kesahihan status halal produk yang dijual.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.