
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melibatkan 16 kawasan di enam negeri serta dua Wilayah Persekutuan mencatatkan bacaan tidak sihat, setakat 9 pagi.
- Sri Aman, IPD Serian dan Samarahan di Sarawak mencatat IPU tidak sihat dengan bacaan tertinggi; Sri Aman paling tinggi pada 167.
- Beberapa kawasan Selangor dan Kuala Lumpur juga melebihi IPU 100 termasuk Shah Alam, Johan Setia, Cheras dan Batu Muda.
- Secara keseluruhan 50 kawasan sederhana, dua kawasan baik, tiada bacaan sangat tidak sihat atau berbahaya; data dikeluarkan setiap jam.
Data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) memaklumkan, tiga kawasan di Sarawak mencatatkan kualiti udara tidak sihat, dengan Sri Aman merekodkan bacaan IPU tertinggi 167, diikuti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian (166) dan Samarahan (162).
Lima kawasan di Selangor turut mencatatkan bacaan melebihi 100, dengan Shah Alam dan Johan Setia masing-masing dengan IPU 157, Banting (137)Klang (123) dan Petaling Jaya (109).
Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula Cheras dan Batu Muda masing-masing mencatatkan bacaan 159 dan 152, sementara di Negeri Sembilan, Seremban mencatatkan bacaan IPU 157 dan Nilai (162)
Dalam pada itu, lima lagi kawasan mencatatkan tahap IPU tidak sihat iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (158); Tangkak, Johor (153), Bukit Rambai (123) dan Alor Gajah (110) di Melaka.
Selain itu, 50 kawasan di seluruh negara merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana, dua kawasan mencatatkan bacaan baik, manakala tiada kawasan mencatatkan bacaan sangat tidak sihat atau berbahaya setakat pagi tadi.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan rekod catatan di 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.