
SHAH ALAM, 25 Ogos – Tuan rumah Selangor mengesahkan gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 miliknya hari ini dengan kelebihan 50 pingat emas mengatasi Wilayah Persekutuan pada temasya sukan dwitahunan itu.
- Selangor meraih gelaran juara keseluruhan buat kali ke-10, selepas kemenangan terdahulu sejak 1988 hingga 2016.
- Kontinjen mengumpul 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa, mengatasi pencapaian terbaik semasa kali pertama menjadi tuan rumah 28 tahun lalu.
- Bola sepak dimenangi Johor, menewaskan tuan rumah 4-2 menerusi penalti pada aksi final di Stadium MBPJ.
- SUKMA Selangor 2026 mempertandingkan 474 acara daripada 37 sukan dengan penyertaan lebih 13,000 atlet dan pegawai.
Ini kali ke-10 Selangor merangkul gelaran itu selepas muncul juara pada edisi 1988, 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2013 dan 2016 di Sarawak.
Negeri Gergasi Merah itu mengutip 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa mengatasi pencapaian terbaik ketika kali pertama menjadi tuan rumah 28 tahun lepas.
Wilayah Persekutuan, juara edisi 1986 (sebagai Kuala Lumpur) dan 2014, terpaksa akur di tempat kedua dengan kutipan 51-54-52 diikuti Terangganu (43-44-36), Sarawak (41-40-62) dan Pulau Pinang (39-55-62) bagi kedudukan lima teratas.
Secara keseluruhan, kontinjen Selangor menghantar 850 atlet dan 304 pegawai.
Sukan renang menjadi antara penyumbang terbesar kejayaan Selangor apabila muncul juara keseluruhan acara itu dengan 20 emas, tujuh perak dan 11 gangsa.
Acara “ibu segala pingat” iaitu bola sepak bagaimanapun disambar Johor selepas mencipta sejarah meraih pingat emas sulung selepas menewaskan tuan rumah 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final edisi 2026 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya semalam.
Negeri selatan tanah air itu turut mengutip emas tertinggi bagi sukan berbasikal trek dengan empat emas, tiga perak serta satu gangsa manakala Pahang mencipta sensasi dengan merangkul emas terbanyak bagi sukan menembak dengan kutipan 14 pingat emas daripada 27 acara.
SUKMA Selangor 2026, yang mempertandingkan 474 acara daripada 37 sukan dengan penyertaan lebih 13,000 atlet dan pegawai, melabuhkan tirai malam ini.
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menyempurnakan upacara penutupan di Aneka Walk, SA Sentral di sini, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Pada majlis sama, Cheah Zen Hong dan perenang Selangor Eliza Tan Ai Shen Tan masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan serta Olahragawati SUKMA 2026. – BERNAMA