
KUANTAN, 29 Oktober – Seramai 4,870 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta sokongan komuniti bersiap siaga bersama 118 aset bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 yang dijangka berterusan hingga Mac tahun depan.
- Pembahagian kekuatan: 1,142 anggota dari 29 balai, 632 anggota PBS dan 3,096 anggota Bomba Komuniti.
- Aset operasi termasuk 55 bot, 13 lori, 38 kenderaan utiliti dan 12 ambulans disediakan untuk operasi banjir.
- Sebanyak 763 kawasan hotspot banjir dikenal pasti di seluruh Pahang berdasarkan maklumat JPS tahun lalu.
- Orang ramai dinasihatkan peka amaran METMalaysia, elak kawasan berisiko dan hubungi talian kecemasan 999 jika perlu.
Daripada jumlah itu, seramai 1,142 merupakan pegawai dan anggota dari 29 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), 632 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan 3,096 anggota Bomba Komuniti.
Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, gabungan kekuatan tersebut membolehkan pihaknya memperkukuh kesiapsiagaan bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat, pemindahan penduduk terjejas serta bantuan kecemasan di kawasan terjejas.
“Terdapat 55 buah bot berbagai jenis, 13 buah lori, 38 buah kenderaan utiliti dan 12 unit ambulans.
“Sebanyak 763 kawasan hotspot banjir dikenal pasti di seluruh Pahang berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Kesiapsiagaan Menghadapi MTL 2026/2027 di Jeti Shahbandar di sini.
Tambah beliau, JBPM Pahang akan memastikan sekurang-kurangnya 70 peratus kekuatan anggota bertugas bagi menghadapi MTL kali ini.
Selain itu, bagi memperkukuh kesiapsiagaan operasi JBPM Pahang turut menubuhkan dua Pasukan Gerak Cepat (PGC) masing-masing berpangkalan di BBP Indera Mahkota, Kuantan dan BBP Bukit Angin, Temerloh.
Berdasarkan rekod, JBPM Pahang telah melaksanakan operasi pemindahan melibatkan seramai 710 penduduk terjejas banjir sepanjang MTL tahun lalu.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai sentiasa peka terhadap amaran cuaca dan banjir yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), mengelak aktiviti di kawasan berisiko dan sekiranya berlaku kecemasan segera hubungi talian 999.