
KUALA LUMPUR, 29 Oktober — Pekebun kecil kelapa sawit boleh mendapatkan pembiayaan berjumlah RM300 juta menerusi dua inisiatif kerajaan.
- Kos penanaman semula dianggarkan RM14,000 hingga RM16,000 sehektar; pekebun kecil juga kehilangan pendapatan sementara menunggu hasil.
- Belanjawan 2024 sediakan pembiayaan hibrid RM100 juta untuk sekitar 4,500 pekebun kecil.
- Program Pembiayaan Tanam Semula Sawit (PTSS) RM200 juta membiayai hingga 40.46 hektar; penangguhan bayaran balik empat tahun.
- Pekebun kecil menanggung kadar faedah empat peratus, manakala kerajaan menanggung baki; kekurangan tenaga buruh menjadi cabaran utama.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, pembiayaan itu bagi membantu pekebun kecil menampung kos penanaman semula sawit.
Katanya, kos penanaman semula dianggarkan antara RM14,000 hingga RM16,000 sehektar, selain pekebun kecil perlu menanggung kehilangan pendapatan sementara menunggu tanaman baharu mengeluarkan hasil.
“Menerusi Belanjawan 2024, kerajaan menyediakan pembiayaan hibrid berjumlah RM100 juta yang disasarkan membantu kira-kira 4,500 pekebun kecil.
“Selain itu, Program Pembiayaan Tanam Semula Sawit (PTSS) berjumlah RM200 juta diperkenalkan bagi membiayai penanaman semula sawit untuk keluasan sehingga 40.46 hektar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, program itu menawarkan penangguhan bayaran balik selama empat tahun.
“Pekebun kecil menanggung kadar faedah empat peratus, manakala baki kadar faedah ditanggung kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, kekurangan tenaga buruh turut menjadi cabaran kepada pekebun kecil, khususnya bagi kerja penuaian, pemungutan tandan buah segar serta penyelenggaraan ladang.