
KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Cukai Jualan Negeri (SST) sebanyak 7.5 peratus ke atas minyak sawit mentah (CPO) serta kos pengangkutan yang lebih tinggi antara faktor mempengaruhi harga belian buah sawit di Sabah berbanding Semenanjung.
- Kadar perahan minyak sawit (OER) di Sabah lebih tinggi, sekitar 22 hingga 25 peratus, meningkatkan hasil pengeluaran.
- MPOB menyediakan formula harga rujukan harian TBS sebagai panduan untuk meningkatkan ketelusan penetapan harga.
- Peniaga wajib mempamerkan harga belian harian berdasarkan 1% OER; MPOB dan KPDN sahkan alat timbang mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, kadar perahan minyak sawit (OER) di Sabah lebih tinggi, iaitu antara 22 hingga 25 peratus.
Beliau berkata kerajaan Sabah mengenakan SST ke atas CPO, manakala tiada cukai seumpamanya dikenakan di Semenanjung.
“Kerajaan negeri Sabah mengenakan SST sebanyak 7.5 peratus ke atas harga minyak sawit mentah, manakala tiada cukai seumpamanya dikenakan di Semenanjung.
“Kedua, kos logistik dan pengangkutan. Jarak pengangkutan dari ladang ke kilang di Sabah adalah lebih jauh berbanding di Semenanjung,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, dalam usaha meningkatkan ketelusan penetapan harga, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyediakan formula harga rujukan harian TBS sebagai panduan kepada industri.
Peniaga buah sawit dan pengilang juga diwajibkan mempamerkan harga belian harian berdasarkan satu peratus OER di premis masing-masing bagi mengelakkan manipulasi harga.
Selain itu, MPOB bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi memastikan alat timbangan di kilang serta pusat belian disahkan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.
Bagaimanapun, kementerian tidak mempunyai kuasa mengubah kadar Cukai Jualan Negeri (SST) di Sabah kerana perkara itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.