Warga Felda Seberang Tayor semarak Hari Kebangsaan 2026

Warga Felda Seberang Tayor di Kemaman, Terengganu menghiasi kawasan kediaman mereka sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026/ RTM

KEMAMAN, 24 Ogos- Semangat patriotisme warga Felda Seberang Tayor di sini dizahirkan menerusi kreativiti menghias kawasan kediaman dengan Jalur Gemilang termasuk menghasilkan beberapa replika secara bergotong-royong sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penduduk menghias kediaman dengan Jalur Gemilang dan menghasilkan replika secara bergotong-royong.
  • Inisiatif itu menyemai semangat patriotisme, khususnya dalam kalangan generasi muda.
  • Setiap zon menghasilkan replika kreativiti tersendiri dan akan dinilai oleh pihak pengurusan hujung September.
  • Program sukarela ini membuktikan kerjasama komuniti dan menggalakkan kreativiti warga Felda.

Inisiatif itu bukan sahaja menceriakan kawasan penempatan, malah menjadi wadah menyemai semangat cinta akan negara dalam kalangan penduduk khususnya generasi muda.

Penduduk, Rohaida Jusoh berkata usaha menghasilkan replika itu dilaksanakan secara bersama mengikut zon kediaman penduduk sejak kira-kira sebulan lepas.

“Semangat yang ada antara kami tidak pernah pudar. Kami sentiasa menyambut dan menerima apa yang disampaikan oleh pihak pengurusan kerana kemerdekaan itu sesuatu yang sukar untuk digambarkan,” katanya.

Seorang lagi penduduk generasi kedua, Rohani Omar berkata idea menghias kawasan kediaman berkenaan dicetuskan pihak pengurusan Felda dengan kerjasama penduduk yang meluangkan masa bergotong-royong bagi menjayakan sambutan berkenaan.

Menurutnya, setiap daripada empat zon kediaman di Felda Seberang Tayor akan menghasilkan replika mengikut kreativiti masing-masing untuk dinilai pihak pengurusan pada hujung September ini.

“Lama juga, dalam sebulan. Ramai yang terlibat. Di sini ada zon dan Zon Empat ini kira-kira 30 orang. Kami buat bersama-sama secara gotong-royong apabila ada masa lapang, biasanya seminggu sekali,” katanya.

Tinjauan RTM mendapati penduduk masih giat menyiapkan beberapa replika selain menghias kawasan kediaman dengan Jalur Gemilang mengikut zon penempatan.

Sementara itu, Pengurus Felda Seberang Tayor, Mohamad Syafiq Hilmi Ahmad Zahid berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan secara sukarela oleh penduduk bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Beliau berkata penyertaan penduduk membuktikan semangat patriotisme dan kerjasama dalam kalangan warga Felda, selain menggalakkan kreativiti komuniti menerusi aktiviti gotong-royong.

Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, dengan kempen mengibarkan Jalur Gemilang turut dipergiat di seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.