Persiapan siaran langsung HKHM 2026 memasuki fasa akhir

Para pelajar membuat persembahan dalam segmen Human Graphic pada sesi latihan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya hari ini / foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Persiapan bagi memastikan siaran langsung sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 berjalan lancar, kini memasuki fasa akhir dengan pasukan penerbitan dan teknikal giat melakukan persiapan di Dataran Putrajaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persiapan teknikal termasuk susun atur liputan, penempatan kamera dan fasiliti, dirancang sejak tahun lalu.
  • Pelbagai pendekatan dan teknologi baharu diketengahkan untuk memberikan pengalaman visual berbeza kepada penonton di rumah.
  • Kerjasama serta komunikasi antara pasukan penerbitan dan teknikal diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan lancar pada hari siaran.

Penerbit Penyelaras HKHM 2026, Rashidah Ali, berkata persiapan meliputi aspek teknikal, susun atur liputan, penempatan kamera serta fasiliti yang diperlukan, dan telah dirancang sejak tahun lalu.

“Pasukan penerbitan dan teknikal kami telah membuat persiapan sejak tahun lepas. Selepas beberapa bulan ini, persediaan dari segi pemantapan, susun atur, kaedah liputan serta persiapan teknikal termasuk fasiliti yang diperlukan telah dilaksanakan,” katanya kepada media selepas bersiaran dalam Program Selamat Pagi Malaysia di ibu negara.

Penerbit Penyelaras HKHM 2026, Rashidah Ali (dua dari kiri), bersama pasukan penerbitan dan teknikal giat melakukan persiapan di Dataran Putrajaya / foto RTM

Beliau berkata, beberapa pendekatan serta teknologi baharu turut diketengahkan bagi siaran langsung tahun ini dalam usaha memberikan pengalaman berbeza kepada penonton di rumah.

Katanya, kerjasama dan komunikasi antara pasukan penerbitan serta teknikal turut diperkukuh bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar pada hari siaran.

“Dari segi liputan visual yang bakal disampaikan, ada beberapa teknologi baharu yang kami ketengahkan untuk liputan siaran langsung kali ini. Kalau nak tahu, memang kena tunggu kelainannya yang akan memberikan yang terbaik kepada audiens di rumah,” katanya.

Siaran langsung HKHM 2026 dijangka bukan sahaja menyampaikan kemeriahan sambutan, malah menawarkan pengalaman visual yang lebih segar kepada penonton di seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.