Alibaba terbitkan saham HK$80 bilion biayai pelaburan AI

Foto AFP

HONG KONG, 23 Ogos – Gergasi teknologi China, Alibaba mengumumkan rancangan untuk menerbitkan saham baharu bernilai HK$80 bilion (AS$10.2 bilion) di Hong Kong bagi membiayai usaha memperluaskan penguasaan globalnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Alibaba menerbitkan saham baharu untuk membiayai pelaburan dan memperluas kepimpinan global dalam bidang kecerdasan buatan.
  • Hasil bersih daripada penerbitan akan digunakan untuk melabur dalam keupayaan AI menyeluruh serta pengembangan dan peningkatan infrastruktur.
  • Pendapatan suku meningkat disebabkan permintaan produk berkaitan AI; model AI Qwen semakin mendapat perhatian pembangun antarabangsa.

Syarikat yang berpangkalan di Hangzhou itu kini melaburkan puluhan bilion dolar dalam pembangunan AI, ketika para pemegang saham menantikan strategi syarikat untuk menjana pulangan daripada pelaburan besar berkenaan.

“Penempatan ekuiti itu dilaksanakan bagi memperluaskan kepimpinan global syarikat dalam bidang AI,” kata Alibaba dalam satu kenyataan.

Menurut syarikat itu, keseluruhan hasil bersih daripada penerbitan saham berkenaan akan digunakan untuk melabur dalam keupayaan AI menyeluruh, termasuk memperluas dan meningkatkan infrastruktur AI.

Pada Khamis lalu, Alibaba melaporkan hasil pendapatan hampir 269 bilion yuan (AS$40 bilion) bagi suku terbaharunya, meningkat sembilan peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan itu didorong oleh permintaan terhadap produk syarikat berkenaan susulan perkembangan pesat industri AI di peringkat global.

Alibaba turut dikenali menerusi model AI, Qwen, yang semakin mendapat perhatian dan digunakan secara meluas oleh pembangun di seluruh dunia. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.