Selangor tepati sasaran 80 emas, bakal ulang kejayaan 28 tahun lalu

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 23 Ogos – Selangor menepati sasaran apabila berjaya mengumpul 80 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, sekali gus membuka peluang untuk kontinjen tuan rumah mengulangi kejayaan muncul juara keseluruhan seperti yang dilakar 28 tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan e-sukan MLBB wanita Selangor menewaskan Pulau Pinang, menyumbang kemenangan penting kepada kontinjen tuan rumah.
  • Exco Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi berasa bangga; beberapa acara masih berlangsung dan berpotensi menambah pingat.
  • Acara renang menjadi penyumbang terbesar kepada kutipan pingat Selangor pada temasya kali ini.

Pingat emas ke-80 Selangor disumbangkan menerusi acara e-sukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) kategori wanita selepas pasukan tuan rumah menewaskan Pulau Pinang, hari ini.

Exco Belia dan Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi, berkata pencapaian itu amat membanggakan, dengan beberapa lagi acara masih berlangsung dan berpotensi menambah kutipan pingat emas kontinjen berkenaan.

“Alhamdulillah, pada hari ini sukan yang menyumbangkan pingat emas ke-80 ialah e-sukan bagi kategori MLBB wanita.

“Setakat hari ini, kita telah meraih lima pingat emas dan keseluruhannya sudah mencapai 80 emas. Insya-Allah, masih ada beberapa acara sukan lagi yang sedang berlangsung,” katanya pada sidang media khas di Pusat Media, di Shah Alam, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata acara renang menjadi penyumbang terbesar kepada kutipan pingat emas Selangor pada temasya kali ini.

Pencapaian 80 pingat emas itu sekali gus menghidupkan harapan kontinjen Selangor untuk mengulangi kejayaan 28 tahun lalu apabila muncul juara keseluruhan temasya berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.