
KUALA LUMPUR, 15 Oktober- Pelabur pusat data perlu membayar caj bagi keseluruhan kapasiti elektrik yang dipohon walaupun penggunaan sebenar lebih rendah, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
- Pelabur pusat data mesti membayar caj bagi keseluruhan kapasiti elektrik yang dipohon walaupun penggunaan sebenar lebih rendah.
- Pelabur yang gagal membayar caj dikenakan larangan untuk beroperasi.
- Malaysia mengalu-alukan pelaburan antarabangsa tetapi menekankan manfaat bersama, pemindahan teknologi dan pembangunan bakat tempatan melalui universiti.
Beliau berkata, sebelum ini pelabur yang memohon kapasiti 200 megawatt (MW) tetapi hanya menggunakan 100 MW menyebabkan baki kapasiti tidak dapat dimanfaatkan pihak lain kerana perjanjian bekalan telah dimeterai dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Jika pelabur memohon kapasiti 200 megawatt, apabila pusat data dan bekalan elektrik sudah tersedia, tetapi hanya menggunakan 100 megawatt, baki 100 megawatt yang tidak digunakan itu tetap akan dikenakan caj. Itulah dasar kita sekarang,” katanya.
Beliau berkata, pelabur yang gagal membayar caj berkenaan tidak dibenarkan beroperasi.
Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong di Dewan Rakyat, Datuk Seri Johari berkata Malaysia mengalu-alukan pelaburan pusat data antarabangsa, namun negara dan pelabur perlu memperoleh manfaat bersama.
Menurutnya, tiga kelompok utama yang mendapat manfaat daripada pembangunan pusat data ialah penyedia utiliti, pengendali pusat data secara ‘co-location’ dan syarikat teknologi berskala besar atau ‘hyperscaler’.
Beliau berkata, syarikat ‘hyperscaler’ seperti Amazon Web Services, (AWS), Microsoft, Google, Oracle, ByteDance dan Alibaba membawa teknologi seperti pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI), AI generatif, penyimpanan data, keselamatan siber dan e-dagang.
“Kita perlu memastikan universiti kita terlibat dan membangunkan teknologi ini supaya suatu hari nanti rakyat kita mampu membangunkannya sendiri,” katanya.
Datuk Seri Johari berkata pembangunan bakat tempatan dalam tempoh 10 tahun akan datang berpotensi membolehkan Malaysia meraih manfaat daripada teknologi berkenaan tanpa perlu menanggung keseluruhan kos pelaburan asas yang sama.