
KUALA SELANGOR, 23 Ogos – Peningkatan kes masalah kesihatan berkaitan kualiti udara dikesan susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan dalam negara.
- KKM memaklumkan peningkatan ketara kes asma dan jangkitan saluran pernafasan atas berdasarkan pemantauan terkini.
- Dalam ME ke-32 hingga ke-33, kes asma meningkat 259 peratus dan URTI meningkat 124 peratus.
- Beberapa kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara tidak sihat, meningkatkan risiko masalah pernafasan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, peningkatan ketara membabitkan kes asma dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) berdasarkan pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kita tahu bahawa bacaan IPU antara 200 hingga 300 dikategorikan sebagai sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 pula berada pada tahap berbahaya. Hari ini, terdapat tujuh kawasan dengan bacaan IPU tidak sihat. Lima daripadanya di Sarawak, iaitu Serian dengan bacaan 197, Kuching (185), Sri Aman (178), Samarahan (176) dan Sarikei (128).
“Sementara itu, dua lagi kawasan di Semenanjung ialah Sungai Petani, Kedah dan Taiping, Perak dengan bacaan 126,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Wellness Hub Kuala Selangor dan Program Santuni Komuniti Minda Sejahtera (K-Mindset) di sini hari ini.
Berdasarkan pemantauan antara minggu epidemiologi (ME) ke-32 dan ke-33, kes asma meningkat 259 peratus manakala URTI meningkat 124 peratus.
Sebanyak 3,674 kes URTI direkodkan pada ME ke-33 berbanding 1,637 kes pada minggu sebelumnya.
Manakala kes asma meningkat kepada 219 kes daripada 61 kes.
Sementara itu, kes konjunktivitis mencatatkan penurunan tujuh peratus kepada 146 kes berbanding 157 kes sebelumnya.