AMU UiTM 2026 angkat kecemerlangan, kepimpinan mahasiswa

AMU UiTM 2026 menyaksikan 36 finalis bersaing dalam 12 kategori

SHAH ALAM, 20 Ogos — Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengiktiraf kecemerlangan dan kepimpinan mahasiswa menerusi Majlis Anugerah Mahasiswa Unggul (AMU) UiTM 2026 pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • 12 kategori dipertandingkan merangkumi kepimpinan, kelestarian, komuniti, perpaduan, sukarelawan, inklusiviti, seni, sukan dan keusahawanan.
  • Pembangunan mahasiswa secara holistik ditekankan untuk melahirkan graduan berdaya saing dan berkemampuan memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
  • Muhammad Haziq Haikal Mohd Nizam dinobatkan Tokoh Siswa Unggul; beberapa penerima utama diiktiraf mengikut kategori kepimpinan, kelestarian dan komuniti.
  • Majlis menghimpunkan pimpinan UiTM termasuk rektor, timbalan rektor, dekan, pengurusan HEP, wakil MPP dan JPK menunjukkan sokongan institusi.

Sebanyak 12 kategori dipertandingkan membabitkan Tokoh Kepimpinan, Kelestarian, Komuniti, Perpaduan, Kesukarelawanan dan Inklusiviti.

Kategori lain ialah Tokoh Bicara, Daya usaha dan Inovasi, Seni dan Warisan, Sukan dan Rekreasi, Keusahawanan serta Sinergi Kepimpinan Siswa, dengan keseluruhan 36 finalis.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr Sazili Shahibi berkata, AMU bukan sekadar majlis penyampaian plak dan sijil, sebaliknya penghargaan universiti terhadap mahasiswa yang menyumbang serta mengharumkan nama UiTM dalam pelbagai bidang.

“Pembangunan mahasiswa secara holistik penting bagi melahirkan graduan yang mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan tempatan dan antarabangsa.

“UiTM bukan sahaja mahu melahirkan graduan cemerlang dalam bidang akademik, tetapi pemimpin masa depan yang mempunyai jati diri, kemahiran kepimpinan serta keupayaan memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis AMU UiTM 2026 di Dewan Anjung Seri Budiman, UiTM Shah Alam.

Beliau berharap penerima anugerah terus menjadi contoh dan inspirasi kepada mahasiswa lain serta berperanan sebagai ikon dan duta kecil UiTM sepanjang berada di kampus dan selepas bergraduasi.

Kemuncak majlis menyaksikan Muhammad Haziq Haikal Mohd Nizam dari UiTM Shah Alam dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Unggul manakala Muhammad Zulhusny Khairul dari UiTM Shah Alam pula menerima Tokoh Siswa Harapan.

Bagi kategori utama, Mohamad Aiman Syakirin Nazlim dari UiTM Perak menerima Tokoh Kepimpinan Siswa; Muhamad Haikal Hanafi Hasran (UiTM Negeri Sembilan) menerima Tokoh Kelestarian Siswa; Muhammad Haziq Haikal Mohd Nizam (UiTM Shah Alam) dinobatkan Tokoh Komuniti Siswa dan Wan Izzul Hakim Wan Jamal Abdul Nasir (UiTM Pahang) pula menerima Tokoh Perpaduan Siswa.

Manakala, Hanafi Hanizan (UiTM Shah Alam) menerima Tokoh Sukarelawan Siswa dan Muhammad Akmal Fitri Rozaidin (UiTM Negeri Sembilan) sebagai penerima Tokoh Inklusif Siswa.

Turut menerima pengiktirafan ialah Aqilah Laila Ahmad Shukri (UiTM Johor) bagi Tokoh Bicara Siswa; Muhammad Saqeef Mohd Sani (UiTM Kedah), Tokoh Daya Usaha dan Inovasi Siswa; Muhammad Azreen Azihanudin (UiTM Kelantan), Tokoh Seni Warisan Siswa; Muhammad Aiman Roslan (UiTM Kelantan), Tokoh Sukan Rekreasi Siswa; dan Amirul Anas Zulkifli (UiTM Shah Alam), Tokoh Usahawan Siswa.

Muhammad Haziq Haikal turut menerima Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa.

Sementara itu, Anugerah Penasihat Terbaik diberikan kepada Hisyam Che Mat dari UiTM Shah Alam, manakala Nurul Ainun Ahmad Atory dari UiTM Selangor menerima Anugerah Penasihat Harapan.

Majlis turut menghimpunkan kepimpinan universiti daripada seluruh sistem UiTM termasuk rektor kampus cawangan, timbalan rektor, dekan, timbalan dekan, pengurusan kanan Hal Ehwal Pelajar (HEP), wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) seluruh Malaysia dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK).

Penganjuran AMU UiTM 2026 mencerminkan usaha universiti membudayakan kecemerlangan dengan mengiktiraf pencapaian, kepimpinan, sumbangan dan impak mahasiswa kepada universiti, masyarakat serta negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.