
LABUAN, 23 Ogos – Seramai 241 Kadet Bomba dari 10 buah sekolah di sini, menjadi duta keselamatan kebakaran selepas mengikuti Program Kadet Bomba Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan.
- Program berkongsi ilmu kebombaan di sekolah, rumah dan komuniti untuk meningkatkan kesedaran serta keselamatan kebakaran.
- Menjadi platform membentuk generasi muda berdisiplin, berdaya kepimpinan, tahan diri dan bersemangat kerja berpasukan.
- Perkhemahan tiga hari di Kompleks Ibu Pejabat JBPM Labuan padat dengan aktiviti kebombaan dan penyelamatan.
- Program disertai pegawai pendidikan dan mengadakan pertandingan menguji fizikal, ketangkasan berfikir, kemahiran, komunikasi dan kebolehan bekerjasama.
Pengarah JBPM Labuan, Abd Rahman Ali berkata, selepas tujuh tahun, program itu berjaya menghimpunkan Kadet Bomba daripada sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Menerusi Program Kadet Bomba Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan diharapkan ilmu kebombaan dapat dikongsi di sekolah, rumah dan dalam komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Perasmian Penutupan Program Kadet Bomba Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan di sini.
Program berkenaan turut dihadiri Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Labuan, Awangku Mohd Fitri Awangku Kalong.
Penganjuran program perkhemahan selama tiga hari bermula Jumaat yang berakhir hari ini, padat aktiviti kebombaan dan penyelamatan, berlangsung di Kompleks Ibu Pejabat JBPM Labuan.
Ia dilihat sebagai platform penting dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, mempunyai daya kepimpinan, ketahanan diri serta semangat kerja berpasukan.
Pelbagai aktiviti dan pertandingan menguji kekuatan fizikal, ketangkasan berfikir, kemahiran, komunikasi, disiplin serta keupayaan bekerjasama sebagai satu pasukan.