10 tahanan JIM larikan diri, Polis Kelantan lancar Op Tutup

Hebahan Polis Daerah Tanah Merah yang sedang membutu 10 PATI yang melarikan dari ketika berada dalam tahanan JIM Kelantan di Tanah Merah hari ini

KOTA BHARU, 23 Ogos- Polis Kelantan melancarkan Op Tutup bagi mengesan kira-kira 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah dalam kejadian awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 3.00 pagi ketika mereka berada di bawah jagaan Jabatan Imigresen Malaysia Kelantan.
  • Kesemua 10 tahanan terdiri tujuh warga Thailand, seorang Indonesia, seorang Bangladesh dan seorang pelarian Myanmar.
  • Orang awam diminta hubungi talian DCC Tanah Merah atau WhatsApp, jangan ambil tindakan sendiri; lokasi terakhir dilaporkan Bukit Tebu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 3.00 pagi ketika kesemua mereka berada di bawah pengawasan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan.

Tahanan berkenaan melibatkan tujuh warga Thailand serta masing-masing seorang warga Indonesia, Bangladesh dan pelarian Myanmar.

“Polis akan melakukan siasatan lanjut. Hebahan sudah dibuat. Op Tutup juga telah dilancarkan di sekitar kawasan Tanah Merah bagi mengesan dan menangkap kesemua PATI terbabit,” katanya kepada pemberita selepas sidang media pelupusan barang kes melibatkan dadah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Terdahulu, Polis Daerah Tanah Merah dalam satu kenyataan memaklumkan lokasi terakhir kesemua PATI berkenaan adalah di Bukit Tebu, Tanah Merah.

Kesemua mereka dipercayai memakai pakaian berwarna hijau terang iaitu pakaian tahanan depot imigresen dan berkepala botak.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan kesemua PATI berkenaan diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Tanah Merah di talian 09-955 6222 atau 09-955 6223, serta talian WhatsApp 011-2955 5518.

Orang awam juga dinasihat supaya tidak mengambil sebarang tindakan sendiri dan menyerahkan urusan berkenaan kepada pihak berkuasa.

Dalam perkembangan lain, Polis Kelantan melupuskan 6,536 barang kes dadah membabitkan 16 jenis bahan terlarang bernilai lebih RM1.1 juta yang telah selesai melalui proses perbicaraan di mahkamah.

Datuk Mohd Yusoff berkata barang kes berkenaan melibatkan kes yang disiasat antara 2008 hingga 2024 merangkumi dadah pepejal seberat hampir 40 kilogram (kg) dan dadah cecair melebihi 2,500 liter.

“Yang paling tinggi adalah yaba sebanyak 7.9 kg, syabu 4.79 kg dan ketum seberat 24.3 kg,” katanya.

Beliau berkata proses pelupusan barang kes itu akan dilaksanakan esok di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Kualiti Alam Sdn Bhd, Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Datuk Mohd Yusoff berkata pihaknya menerima maklum balas positif susulan arahan menangkap seorang penagih sehari oleh ketua-ketua balai polis di seluruh Kelantan.

Beliau berkata pendekatan itu membantu mengurangkan kes pecah rumah, kecurian barang dan jenayah berkaitan di kampung-kampung.

Sepanjang 16 hari pelaksanaan arahan berkenaan dari 15 hingga 31 Julai lepas, sebanyak 469 individu telah ditahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.