Usahawan tempatan disaran perkukuh daya tahan perniagaan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 23 Ogos Usahawan tempatan disaran memperkukuh daya tahan perniagaan menerusi pendekatan lebih fleksibel bagi menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laksanakan kerangka 5D: kepelbagaian pasaran, pengurangan risiko, kawal pendedahan mata wang, pilihan operasi alternatif dan penyaluran modal strategik.
  • Mempelbagaikan bukan hanya produk tetapi pasaran, pembekal, pelanggan dan sumber pembiayaan untuk kurangkan kebergantungan.
  • Bangunkan pilihan operasi termasuk teknologi seperti kecerdasan buatan dan pembekal alternatif untuk kekal adaptif ketika kejutan geopolitik.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, pendekatan itu dapat membantu perniagaan memperluas peluang pertumbuhan, meningkatkan kecekapan operasi serta membina asas yang lebih kukuh untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.

Pendekatan itu boleh dilaksanakan menerusi kerangka 5D yang merangkumi kepelbagaian pasaran, pengurangan risiko, pengurusan pendedahan mata wang, penyediaan pilihan alternatif dalam operasi serta penyaluran modal secara strategik.

“Bukan sekadar mempelbagaikan produk, tetapi usahawan juga perlu mempelbagaikan pasaran, pembekal, pelanggan serta sumber pembiayaan.

“Kebanyakan usahawan sudah biasa melihat kepada pasaran, pembekal dan pelanggan, namun sumber pembiayaan masih sering tertumpu kepada pilihan dalam negara,” katanya pada Sidang Kemuncak Ekonomi dan Keusahawanan Asia 2026 di ibu negara.

Usahawan juga perlu mengenal pasti tahap kebergantungan terhadap pembekal atau pasaran tertentu dan menyediakan sumber alternatif bagi mengurangkan risiko sekiranya berlaku kejutan geopolitik.

Dalam aspek operasi pula, syarikat digalakkan membina lebih banyak pilihan, termasuk penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan atau mendapatkan bahan mentah daripada sumber berbeza.

Pada masa sama, modal perlu disalurkan secara lebih terpilih dengan mengambil kira peluang baharu yang muncul daripada perubahan geopolitik dan ekonomi global.

Kesemua pendekatan itu bagi memastikan perniagaan kekal berdaya tahan, mampan dan mampu menyesuaikan diri dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.