
BANGKOK, 23 Ogos – Sebanyak 51 insiden keganasan dilaporkan berlaku di tiga wilayah sempadan selatan Thailand, Narathiwat, Pattani dan Yala, dalam tempoh beberapa jam pada malam Sabtu.
- Serangan melibatkan letupan, tembakan dan kebakaran menyerang premis, kenderaan dan infrastruktur telekomunikasi.
- Letupan di tepi lebuh raya merosakkan kenderaan, menyebabkan dua penumpang cedera dan dirawat di hospital.
- Pihak berkuasa tingkatkan tahap keselamatan, adakan mesyuarat keselamatan dan jalankan siasatan untuk mencari pihak bertanggungjawab.
Menurut Komando Hadapan Wilayah 4, Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Thailand, kejadian yang berlaku mulai kira-kira 8 malam itu membabitkan beberapa insiden termasuk letupan, tembakan dan kebakaran.
Daripada jumlah itu, 22 insiden dilaporkan berlaku di Narathiwat, diikuti Yala sebanyak 18 insiden dan Pattani sebanyak 11 insiden.
Dua orang awam dilaporkan cedera dalam kejadian di Narathiwat, manakala tiada kecederaan dilaporkan pada peringkat awal di Pattani dan Yala.
Di Pattani, antara kejadian yang dilaporkan berlaku ialah serangan terhadap sebuah premis perniagaan di daerah Yaring apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu premis berkenaan sebelum mengarahkan pelanggan dan pekerja keluar.
Beberapa das tembakan dilaporkan dilepaskan ke udara ketika orang ramai melarikan diri sebelum bahan letupan dipercayai diletakkan di dalam premis itu.
Kira-kira 30 minit kemudian, letupan berlaku dan mencetuskan kebakaran yang memusnahkan keseluruhan bangunan.
Anggota bomba yang tiba di lokasi turut berdepan beberapa letupan susulan ketika sedang memadamkan kebakaran, menyebabkan mereka terpaksa berundur buat sementara waktu.
Beberapa insiden lain turut dilaporkan di Pattani, termasuk penahanan pengawal keselamatan di sebuah organisasi pentadbiran tempatan, pembakaran lori kutipan sampah milik kerajaan serta kerosakan pada sebuah lori bomba.
Kejadian membakar tayar kenderaan dan infrastruktur telekomunikasi turut dilaporkan di beberapa lokasi.
Di Narathiwat pula, bahan letupan dipercayai meletup di tepi Lebuh Raya 4056 ketika sebuah kenderaan yang membawa anggota polis dan ahli keluarga mereka dalam perjalanan pulang.
Letupan itu merosakkan kenderaan berkenaan dan menyebabkan dua penumpang cedera sebelum mereka dikejarkan ke Hospital Narathiwat Ratchanakarin untuk mendapatkan rawatan.
Di Yala, beberapa menara telekomunikasi dan kenderaan milik organisasi pentadbiran tempatan turut dilaporkan dibakar.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa meningkatkan tahap keselamatan di ketiga-tiga wilayah berkenaan dan mengarahkan semua agensi berkaitan memeriksa lokasi kejadian, mengawal kawasan serta mengumpul bukti bagi membantu siasatan.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, turut mengadakan mesyuarat keselamatan pada pagi Ahad bagi memantau perkembangan insiden berkenaan sebelum berlepas ke wilayah Nan untuk meninjau situasi banjir.
Mesyuarat yang bermula kira-kira 8 pagi itu dihadiri Menteri Pertahanan Thailand, Lt Gen Adul Boonthamcharoen; Panglima Tentera Darat, Jeneral Pana Klaewplodtuk; Ketua Turus Tentera Darat, Jeneral Chaiyaphruek Duangprapat; Setiausaha Agung ISOC, Atsisit Sampantharat; serta Setiausaha Tetap Kementerian Dalam Negeri, Naruja Khosasivilai.
Pihak berkuasa turut mengarahkan langkah keselamatan dipertingkatkan ke tahap tertinggi di Narathiwat, Pattani dan Yala serta memburu pihak yang bertanggungjawab terhadap siri serangan berkenaan.
Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab serta motif di sebalik siri serangan berkenaan.