
KOTA BHARU, 23 Ogos- Rakyat Malaysia dinasihat supaya menangguhkan perjalanan tidak penting ke Thailand buat masa ini susulan 51 kejadian letupan bom dilaporkan berlaku di tiga daerah di Selatan Thailand, malam tadi.
- Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat sehingga kini, menurut Ketua Polis Kelantan.
- Rakyat Malaysia di Thailand diingatkan mengikuti perkembangan keselamatan dan mematuhi undang-undang serta peraturan tempatan.
- Pihak berkuasa Thailand meningkatkan operasi penguatkuasaan trafik termasuk pemeriksaan terhadap kenderaan dari Malaysia.
- Wilayah Narathiwat, Patani dan Yala digegarkan letupan di lebih 51 lokasi, menyebabkan kerosakan harta, kebakaran dan perintah berkurung.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat turut mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian itu, setakat ini.
“Isu di Selatan Thailand ini berlaku setiap hari, cuma kejadian semalam agak teruk. Kita tidak mahu rakyat kita terkesan atau menjadi mangsa akibat perkara seperti ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya, pendirian tersebut kekal seperti sebelum ini berdasarkan kenyataan Kementerian Luar.
Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia di Thailand supaya sentiasa mengikuti perkembangan keselamatan semasa dan mematuhi peraturan negara berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Mohd Yusoff berkata polis turut menerima maklumat bahawa pihak berkuasa Thailand telah meningkatkan operasi penguatkuasaan trafik termasuk terhadap kenderaan dari Malaysia.
Media Thailand melaporkan wilayah Narathiwat, Patani dan Yala digegarkan siri letupan bom dan serangan serentak di lebih 51 lokasi, bermula kira-kira 8.15 malam tadi.
Kejadian itu turut menyebabkan kerosakan harta benda dan kebakaran, selain pihak berkuasa Thailand mengeluarkan arahan perintah berkurung di kawasan terjejas.