Jalur Gemilang lambang cinta, kesetiaan kepada negara

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Jalur Gemilang bukan sekadar lambang negara, sebaliknya simbol rasa cinta dan kesetiaan rakyat kepada Malaysia yang perlu dizahirkan melalui tindakan, termasuk mengibarkannya sepanjang Bulan Kebangsaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program PENTARAMA Merdeka@HOHO 2026 mendapat sambutan hangat, dengan ribuan Jalur Gemilang diedarkan kepada orang ramai.
  • Program jelajah KL Hop-On Hop-Off menghimpunkan ratusan warga kota dan menghidupkan suasana Hari Kebangsaan di lokasi ikonik.
  • Pengunjung dihiburkan dengan persembahan artis budaya, pemuzik, dan pengedaran Jalur Gemilang untuk memeriahkan sambutan.
  • PENTARAMA kini menjadi inisiatif tahunan JAPEN, menggunakan pendekatan santai dan interaktif untuk menyemarakkan patriotisme.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Erwin Khairul Ahmad, berkata sambutan hangat orang ramai terhadap Program PENTARAMA Merdeka@HOHO 2026 membuktikan semangat patriotisme rakyat masih utuh apabila ribuan Jalur Gemilang diedarkan dan dibawa pulang untuk dikibarkan di kediaman masing-masing.

“Kalau kita lihat, sambutan terhadap program ini amat menggalakkan. Ramai yang mengambil bendera, malah kita benarkan bendera dibawa pulang. Ada yang berkata, ‘Di rumah saya sudah ada banyak bendera’ Ini bermakna rakyat Malaysia memang ramai yang telah mengibarkan bendera.

“Jalur Gemilang ini adalah bukti rasa cinta kita kepada negara. Jadi, kita perlu tunjukkan rasa cinta itu dan jangan hanya menyimpannya dalam hati. Kita tunjukkan bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara kita yang wajar kita sayangi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program PENTARAMA Merdeka@HOHO 2026 di ibu negara, malam tadi.

Program jelajah edisi ketiga yang berlangsung malam tadi menghimpunkan ratusan warga kota menerusi perjalanan bas dua tingkat KL Hop-On Hop-Off, sekali gus menghidupkan suasana sambutan Hari Kebangsaan 2026 di beberapa lokasi ikonik sekitar Kuala Lumpur.

Sepanjang program, pengunjung turut disajikan persembahan artis budaya dan pemuzik PENTARAMA, selain pengedaran Jalur Gemilang sebagai galakan kepada orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

PENTARAMA Merdeka@HOHO kini menjadi antara inisiatif tahunan JAPEN dalam menyampaikan mesej kenegaraan kepada masyarakat menerusi pendekatan santai, interaktif dan lebih dekat dengan rakyat, selaras usaha menyemarakkan semangat patriotisme sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.