Menteri Luar Arab, Islam kecam rancangan penempatan haram Israel

Foto REUTERS

RAMALLAH, 22 Ogos – Menteri luar Arab Saudi, Qatar, Jordan, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, Pakistan, Turkiye dan Mesir pada Jumaat mengecam keras dasar penempatan haram Israel yang berterusan di wilayah Palestin yang diduduki.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menolak rancangan penjajahan E1 dan aktiviti penempatan berkaitan di Baitulmaqdis Timur.
  • Menegaskan bahawa penempatan haram melanggar undang-undang antarabangsa, ancam keamanan serantau dan hak Palestin.
  • Menggesa tindakan antarabangsa, sekatan, dan hentikan sokongan serta pembiayaan terhadap penempatan haram.
  • Menegaskan penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

Dalam kenyataan bersama, mereka menegaskan penolakan sepenuhnya terhadap rancangan penjajahan “E1” dan aktiviti penempatan berkaitan di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Mereka mengulangi kecaman terhadap pencabulan dan tindakan keganasan yang dilakukan peneroka haram Israel dengan sokongan pihak berkuasa Israel terhadap rakyat Palestin serta harta benda mereka.

Mereka menegaskan bahawa amalan sedemikian tidak menjejaskan hak rakyat Palestin yang tidak boleh dinafikan dan merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan, selain menimbulkan ancaman serius terhadap keamanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa.

Menteri luar berkenaan memberi amaran bahawa rancangan E1 merupakan peningkatan ketegangan berbahaya yang akan memperluas penjajahan dan pengilhakan, selain menjejaskan kesinambungan wilayah Palestin yang diduduki, khususnya antara Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.

Tindakan itu mengancam kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaya maju dan mempunyai wilayah yang bersambung secara geografi berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.

Mereka menyifatkan langkah berkenaan sebagai cabaran langsung terhadap usaha antarabangsa untuk mencapai keamanan, terutama pelan damai komprehensif Presiden Donald Trump yang merangkumi penolakan tegas terhadap pengilhakan dan pemindahan secara paksa serta mekanisme yang dirangka bagi pelaksanaannya.

Menteri luar berkenaan menegaskan semula bahawa penyelesaian dua negara, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB berkaitan, kekal sebagai satu-satunya jalan berdaya maju untuk mencapai keamanan yang adil, menyeluruh dan berkekalan.

Mereka memberi amaran bahawa langkah yang bertujuan menjejaskan penyelesaian itu akan meningkatkan lagi ketegangan, mengancam keamanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa, selain menjejaskan prospek untuk mencapai keamanan dan kestabilan berkekalan di rantau itu.

Mereka menyatakan sokongan terhadap usaha memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan, termasuk menerusi langkah antarabangsa yang sewajarnya dan sekatan terhadap entiti serta individu yang bertanggungjawab terhadap aktiviti penempatan haram termasuk rancangan penempatan E1, serta mereka yang menyokong, memudahkan atau melaksanakan dasar perluasan penempatan dan pengilhakan.

Mereka menggesa supaya segala bentuk sokongan atau pembiayaan yang menyumbang kepada pembinaan, perluasan atau pengukuhan penempatan haram dihentikan.

Mereka menegaskan bahawa kegagalan memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan akan menyebabkan pencabulan berterusan dan terus menjejaskan prospek keamanan yang adil serta menyeluruh.

Menteri luar berkenaan menggesa tindakan segera bagi menghentikan rancangan penempatan E1, membatalkan semua langkah yang diambil dalam kerangka rancangan itu serta menghentikan semua aktiviti penempatan dan langkah lain yang bertujuan mengubah ciri geografi dan demografi wilayah Palestin yang diduduki.

Mereka menggesa Majlis Keselamatan PBB serta semua negara dan badan antarabangsa berkaitan melaksanakan tanggungjawab masing-masing di bawah undang-undang antarabangsa serta mengambil langkah segera dan berkesan bagi menghentikan perluasan penempatan haram dan memastikan perlindungan terhadap rakyat Palestin.

Mereka turut menggesa supaya hak rakyat Palestin yang tidak boleh dinafikan dilindungi, termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri dan menubuhkan sebuah negara merdeka, selaras dengan undang-undang antarabangsa serta resolusi PBB berkaitan. -BERNAMA-WAFA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.