
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Malaysia menerusi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menegaskan bahawa pencemaran jerebu merentas sempadan akibat kebakaran tanah dan hutan perlu ditangani secara kolektif menerusi tindakan pencegahan, kesiapsiagaan nasional dan pemantauan berterusan berteraskan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).
- Surat rasmi kepada Setiausaha Agung ASEAN menyeru tindakan serantau dan koordinasi erat.
- Intervensi awal, pertukaran maklumat tepat dan koordinasi serantau adalah elemen asas menangani jerebu.
- Pemantauan menunjukkan cuaca kering selatan ASEAN dan risiko meningkat berikutan pengukuhan fenomena El Nino.
- Negara anggota digesa tingkatkan pengawasan, penguatkuasaan larangan pembakaran serta kesiapsiagaan operasi pemadaman kebakaran.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dalam kenyataan memaklumkan, pendirian itu telah disampaikan menerusi utusan rasmi kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn pada Jumaat (21 Ogos).
“Pelaksanaan intervensi awal, pertukaran maklumat secara tepat serta koordinasi serantau yang erat merupakan elemen asas dalam menangani isu jerebu secara berkesan.
“NRES menekankan bahawa langkah pencegahan kekal sebagai pendekatan paling berkesan dalam melindungi rantau ini daripada impak buruk jerebu,” menurut kenyataan itu.
Meskipun pemantauan rapi pihak Kementerian terhadap perkembangan meteorologi semasa mendapati cuaca kering yang berterusan di kawasan selatan rantau ASEAN telah mengakibatkan peningkatan kawasan berisiko dan jerebu.
Keadaan itu berisiko menjadi lebih meluas berikutan fenomena El Ninoo yang dijangka akan beransur menguat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Walaupun kejadian kebakaran buat masa ini masih terkawal dalam sempadan Negara Anggota ASEAN masingmasing, risiko jerebu merentas sempadan menuntut kesiapsiagaan kolektif serta kewaspadaan tinggi di peringkat serantau,” tambah kenyataan itu.
Sehubungan itu, semua negara anggota ASEAN digesa untuk meningkatkan kawalan dan kesiapsiagaan dengan mengekalkan pemantauan rapi di kawasan berisiko tinggi.
Selain itu mempertingkatkan pengawasan kawasan berisiko, memperkasakan penguatkuasaan terhadap pematuhan larangan pembakaran terbuka serta memastikan kesiapsiagaan operasi pemadaman kebakaran yang efisien bagi mengelakkan insiden melarat.
“Malaysia mengalu-alukan peranan proaktif Sekretariat ASEAN selaku Pusat Koordinasi ASEAN Sementara bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (Interim ASEAN Coordinating Centre for Transboundary Haze Pollution Control – ACC THPC).
“Dalam memudah cara penyebaran maklumat, menyelaraskan langkah kesiapsiagaan antara Negara Anggota serta memperkukuh mekanisme kerjasama bawah AATHP,” menurut kenyataan itu.
Komitmen padu dan tindakan proaktif seluruh negara anggota ASEAN akan memperkasa ketahanan serantau dalam mendepani cabaran iklim, seterusnya memelihara alam sekitar yang mampan, sejahtera dan bebas jerebu demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.