
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Rapid KL akan melanjutkan operasi perkhidmatan rel dan bas terpilih kepada 24 jam dari 30 hingga 31 Ogos ini bagi memudahkan pergerakan orang ramai sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya.
- Operasi 24 jam melibatkan semua perkhidmatan rel Rapid KL termasuk LRT, MRT dan Monorel; kekerapan tren dipertingkat mengikut permintaan.
- Sebanyak 103 bas perantara percuma disediakan bagi memudahkan pergerakan orang ramai ke lokasi sambutan.
- Lebih 5,000 petugas barisan hadapan ditempatkan mengikut syif untuk mengurus aliran penumpang dan memastikan operasi lancar serta selamat.
Menurut Rapid KL, operasi 24 jam itu membabitkan semua perkhidmatan rel kendaliannya, termasuk Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel Kuala Lumpur.
“Bagi menampung peningkatan jumlah penumpang, kekerapan tren akan ditingkatkan di beberapa laluan utama serta diselaraskan mengikut permintaan dan keadaan semasa di stesen.
Tren tambahan juga akan digerakkan sekiranya diperlukan berdasarkan pemantauan jumlah penumpang dan tahap kesesakan di platform,” menurut kenyataannya.
Selain perkhidmatan rel, Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway serta beberapa laluan bas dan perkhidmatan Rapid KL On-Demand turut beroperasi selama 24 jam sepanjang tempoh sambutan.
Rapid KL berkata, langkah itu bertujuan menyediakan lebih banyak pilihan pengangkutan awam kepada orang ramai selain membantu mengurangkan kesesakan di sekitar lokasi sambutan.
“Bagi memudahkan pergerakan orang ramai ke lokasi sambutan di Putrajaya, sebanyak 103 bas perantara percuma turut disediakan membabitkan beberapa laluan utama.
Perkhidmatan itu meliputi laluan dari Stesen Putrajaya Sentral ke Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2, bermula jam 2 petang pada 30 Ogos hingga 2 petang pada 31 Ogos,” katanya.
Selain itu, bas perantara percuma turut disediakan dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ke Jalan Tun Hussein, Presint 3, bermula jam 4 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos.
Dalam pada itu, lebih 5,000 petugas barisan hadapan daripada pelbagai unit akan ditempatkan mengikut syif pada 30 dan 31 Ogos bagi memastikan operasi perkhidmatan berjalan lancar.
Rapid KL berkata, petugas berkenaan akan membantu mengurus pergerakan orang ramai serta memastikan aliran penumpang di stesen dan lokasi tumpuan berlangsung dengan lancar dan selamat.
Langkah persediaan itu meneruskan pendekatan Rapid KL memperkukuh operasi pengangkutan awam sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Pada sambutan tahun lalu, Prasarana turut menempatkan lebih 5,000 petugas barisan hadapan dan menyediakan bas perantara percuma ke Dataran Putrajaya.
Orang ramai disaran menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam bagi memudahkan perjalanan ke lokasi sambutan serta mengurangkan kesesakan lalu lintas, khususnya di sekitar Putrajaya.