
PUTRAJAYA, 21 Ogos – Malaysia mahu memastikan kerjasama strategik dengan Arm Limited bukan sahaja memperkukuh keupayaan reka bentuk cip tempatan, malah turut memberi nilai ekonomi lebih tinggi menerusi aktiviti pembuatan dan pembangunan rantaian bekalan semikonduktor dalam negara.
- Pembuatan cip akan dilaksanakan di Malaysia apabila syarikat mencapai tahap kematangan untuk meningkatkan manfaat ekonomi.
- Syarat kerjasama termasuk pelantikan jurutera tempatan berkemahiran tinggi bagi memastikan pulangan ilmu dan pekerjaan.
- Oppstar dan Alphaswift menerima akses teknologi Arm (CSS dan AFA), mempercepat reka bentuk litar bersepadu serta R&D dron dan mikroelektronik.
- Lapan akses ditawarkan (empat CSS, empat AFA) kepada lima syarikat; 1,530 peserta telah mengikuti latihan Arm On-Demand.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, penekanan turut diberikan terhadap usaha memastikan proses pembuatan cip dilaksanakan di Malaysia apabila syarikat terbabit mencapai tahap kematangan tertentu, sekali gus meningkatkan manfaat ekonomi daripada kerjasama berkenaan.
Menurut beliau, pulangan yang terhasil bukan hanya bergantung kepada keupayaan syarikat tempatan menghasilkan cip dan harta intelek (IP), tetapi turut merangkumi pembangunan rantaian bekalan serta penglibatan jurutera tempatan berkemahiran tinggi.
“Jadi sebab itu nilai yang akan kita cuba hasilkan itu berganda, bukan hanya kepada keupayaan syarikat itu untuk mengeluarkan cip sendiri, tetapi juga ikatan-ikatan berkenaan.
“Termasuk juga kita mengenakan syarat supaya ada jurutera ataupun jurutera yang berkemahiran tinggi yang dilantik dalam kalangan rakyat kita. Jadi itu sebenarnya pulangan-pulangan yang diberikan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kepada Arm Limited, di sini.
Jelas Akmal, nilai ekonomi bagi setiap akses teknologi berbeza mengikut teknologi yang diperoleh, pasaran serta potensi pelanggan yang dikenal pasti oleh syarikat terbabit.
Dalam perkembangan berkaitan, dua syarikat tempatan, Oppstar Technology Sdn Bhd dan Alphaswift Industries Sdn Bhd menerima akses teknologi Arm menerusi kerjasama strategik Malaysia-Arm.
Oppstar menerima akses kepada teknologi Arm Compute Subsystem (CSS), manakala Alphaswift memperoleh akses melalui program Arm Flexible Access (AFA).
Akses berkenaan membolehkan syarikat tempatan mempercepat pembangunan reka bentuk litar bersepadu serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan teknologi semikonduktor, termasuk dalam bidang dron dan mikroelektronik termaju.
Setakat ini, lapan akses teknologi Arm merangkumi empat Arm CSS dan empat token AFA ditawarkan kepada lima syarikat tempatan.
Dalam aspek pembangunan bakat, seramai 1,530 peserta telah mengikuti program Arm On-Demand Training daripada sasaran 10,000 bakat dalam tempoh empat tahun.
Kerjasama Malaysia-Arm merupakan antara usaha kerajaan memperkukuh keupayaan reka bentuk cip tempatan serta meningkatkan penyertaan Malaysia dalam aktiviti bernilai lebih tinggi dalam rantaian nilai semikonduktor global.