Premis proses pasir haram diserbu, RM5 juta dirampas

Foto RTM

SUBANG, 21 Ogos – Kegiatan mencuci dan memproses pasir secara haram yang dipercayai beroperasi lebih lapan tahun akhirnya terbongkar selepas sebuah premis di Jalan Lapangan Terbang Subang Lama diserbu Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • 12 lelaki ditahan, termasuk lima warganegara dan tujuh bukan warganegara.
  • Sebanyak 1,500 tan pasir, jentera berat dan peralatan dirampas, anggaran nilai RM5 juta.
  • Proses pencucian pasir menyebabkan pencemaran sungai, kes disiasat mengikut pelbagai akta dan Op Gali Mega.

Menurut Komander Briged Tengah PGA, SAC Hakemal Hawari, serbuan di premis seluas kira-kira 1.6 ekar itu membawa kepada penahanan 12 lelaki, termasuk lima warganegara Malaysia dan tujuh bukan warganegara.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, pasir berkenaan dipercayai dibawa dari luar sebelum diproses dan dicuci di premis terbabit.

“Bahan-bahan lain yang bukan pasir seperti batu, kayu dan sebagainya akan diasingkan dan diproses semula menjadi pasir halus sebelum dibawa keluar untuk dijual.

“Kita juga dapat melihat perubahan warna air sungai, khususnya di kawasan berhampiran premis ini. Air sungai di bahagian berkenaan kelihatan keruh, sedangkan di bahagian hulu, airnya lebih jernih.

“Jadi, antara punca kekeruhan itu dipercayai datang dari kawasan ini apabila air daripada proses mencuci pasir dan tanah dialirkan masuk ke sungai, sekali gus menyebabkan pencemaran,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Subang, pada Khamis.

Operasi bersepadu kira-kira jam 3.30 petang itu turut membabitkan Lembaga Urus Air Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor serta Jabatan Imigresen.

Sebanyak 1,500 tan pasir, selain jentera berat dan peralatan mencuci serta memproses pasir dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM5 juta.

Serbuan itu merupakan sebahagian daripada Op Gali Mega yang dilancarkan Briged Tengah PGA sejak Rabu, membabitkan Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Secara keseluruhan, operasi berkenaan menyaksikan serbuan di tujuh lokasi, pemeriksaan terhadap 31 individu dan penahanan 15 orang, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM13.26 juta.

Kes disiasat mengikut Kanun Tanah Negara 1965, Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999, Akta Imigresen 1959/63 serta undang-undang kecil berkaitan.

SAC Hakemal menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti perlombongan haram, selain menggesa orang awam menyalurkan maklumat berhubung kegiatan mencurigakan kepada polis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.