
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh / Foto Fail BERNAMA
AYER KEROH, 20 Ogos – Barisan Nasional (BN) Melaka belum mengadakan sebarang pertemuan rasmi dengan mana-mana parti berhubung kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
- Kerjasama politik bergantung kepada hasil perbincangan antara pihak terlibat.
- Perbincangan belum tentu mencapai titik persamaan mengenai hala tuju politik negeri.
- BN terbuka berbincang dengan mana-mana pihak, termasuk PKR dan PAS.
- Kedudukan 21 kerusi DUN yang dimenangi BN akan menjadi asas rundingan; BN berhasrat mempertahankan 21 kerusi.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan, sebarang kerjasama politik masih bergantung kepada hasil perbincangan antara pihak terlibat.
“Walaupun kita berbincang, tidak semestinya kita akan dapat satu titik persamaan dalam menuju hala tuju politik negeri ini.
“Walau bagaimanapun, kita terbuka kepada mana-mana pihak untuk berbincang, tak kisah siapa, PKR, PAS ataupun mana-mana parti yang bersedia berbincang dengan kita,” katanya.
Beliau ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Tinggi Melaka, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, kedudukan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi BN sebelum ini akan menjadi asas dalam sebarang rundingan politik.
“Apa yang penting ialah Melaka akan mempertahankan 21 kerusi yang kita telah menangi. Tentu ada perubahan dalam kerusi-kerusi yang lain, tapi titik perbincangan itu mesti bermula pada 21 kerusi yang akan kita pertahankan.
“Walaupun ada pertukaran beberapa kerusi, tetap 21,” katanya.