P. Pinang harap PIFC diluluskan menerusi Belanjawan 2027

Chow Kon Yeow/ BERNAMA

GEORGE TOWN, 19 Ogos – Pulau Pinang berharap cadangan penubuhan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC) mendapat kelulusan dan komitmen Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2027, bagi memperkukuh akses pembiayaan khususnya untuk sektor teknologi dan semikonduktor di negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan negeri bersedia membentangkan cadangan PIFC kepada Kementerian Kewangan berdasarkan kertas putih perunding.
  • PIFC bukan untuk bersaing dengan Kuala Lumpur, Labuan atau Johor SEZ, tetapi membezakan Pulau Pinang sebagai hab teknologi.
  • Matlamat utama PIFC ialah menyediakan akses pembiayaan lebih baik untuk menyokong perkembangan teknologi dan industri semikonduktor di negeri ini.

Ketua Menteri Pualau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri bersedia membentangkan cadangan berkenaan kepada Kementerian Kewangan berdasarkan kertas putih yang disediakan oleh perunding yang dilantik.

“Kita memperjuangkan PIFC bukan untuk bersaing dengan Kuala Lumpur, Labuan mahupun Johor SEZ, sebaliknya untuk membezakan pusat kewangan di Pulau Pinang berasaskan kekuatan negeri ini sebagai hab teknologi dunia dan rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri SC Penang Semicon Roadshow bertemakan ‘Powering SemiCons: Financing Your Next Breakthrough’ di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi.

Antara perkara utama yang mahu ditangani menerusi PIFC ialah penyediaan akses pembiayaan yang lebih baik bagi menyokong pembangunan teknologi serta merealisasikan potensi industri berkenaan di Pulau Pinang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.