Pelan komprehensif tambah baik kawalan pintu masuk negara diluluskan Jemaah Menteri

Foto fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 18 Ogos – Pelan Komprehensif Bersepadu Sempadan Negara diluluskan Jemaah Menteri untuk tindakan segera bermula hari ini, menurut Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan komprehensif dirangka untuk memperbaiki kawalan di pintu masuk negara, melibatkan aspek keselamatan yang dibentangkan KDN dan MOT.
  • Pelan menekankan keperluan memperkukuh penyelarasan antara agensi supaya tiada pendekatan bekerja secara bersendirian atau in silo.
  • Susulan kes dadah dan kebimbangan imej negara, Jemaah Menteri arah KDN dan MOT kemukakan pelan tingkatkan keselamatan KLIA dalam dua minggu.

Pelan tersebut dirangka bagi menambah baik kawalan di pintu masuk negara.

Datuk Seri Fahmi berkata pelan berkenaan dibentangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) membabitkan beberapa aspek.

“Ada beberapa perkara telah dibentangkan oleh kedua-dua kementerian memandangkan ada beberapa perkara melibatkan aspek keselamatan. Maka saya minta untuk rujuk kepada Kementerian Dalam Negeri untuk maklumat khusus. Tapi pelan tersebut telah dibentangkan dan diluluskan oleh Jemaah Menteri untuk tindakan segera bermula hari ini juga,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pelan berkenaan mengambil kira keperluan untuk memperkukuh penyelarasan antara pelbagai agensi supaya tiada lagi pendekatan bekerja secara bersendirian atau ‘in silo‘ dalam mengawal pintu masuk negara.

Isu kawalan keselamatan lapangan terbang mendapat perhatian susulan beberapa kes membabitkan rakyat negara ini termasuk penahanan seorang juruterbang Malaysia bersama kira-kira 25 kilogram dadah jenis MDMA di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia baru-baru ini.

Susulan itu, Jemaah Menteri mengarahkan KDN dan MOT mengemukakan pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dalam tempoh dua minggu.

Arahan itu susulan kebimbangan kerajaan terhadap insiden yang boleh menjejaskan imej negara selain menimbulkan persepsi bahawa wujud kelemahan dalam sistem kawalan keselamatan di premis berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.