Polis Kelantan tidak kompromi sindiket penyeludupan PATI

Foto RTM

KOTA BHARU, 19 Ogos – Polis Kelantan akan mengambil tindakan tegas terhadap sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tonto yang disifatkan makin membimbangkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kegiatan penyeludupan kini banyak menggunakan laluan laut dan sungai di Kelantan.
  • Dua anggota Batalion 7 PGA cedera dilanggar kenderaan tekong darat yang cuba mengelak pemeriksaan.
  • Tindakan undang-undang: tahanan bawah ATIPSOM dan pendakwaan mengikut Seksyen 353.
  • Ketua Polis menasihatkan anggota, terutama PGA, supaya berhati-hati dan mempertahankan diri menurut undang-undang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, turut menyifatkan tindakan sindiket yang melanggar dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Sabtu lalu adalah biadap dan tidak sepatutnya berlaku.

Beliau berkata, kegiatan penyeludupan PATI di negeri itu adalah serius dan taktik mereka kini banyak menggunakan laluan laut untuk membawa masuk PATI.

“Sekarang ini kita lihat kegiatan penyeludupan manusia banyak menggunakan laluan laut dan sungai di Kelantan.

“Jadi, kita tidak akan berkompromi dalam hal ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap tonto-tonto, terutama mereka yang sanggup menghalang kenderaan penguat kuasa dan sebagainya.

“Seperti kelmarin, kita mengambil tindakan tegas daripada segi undang-undang selepas menahan mereka di bawah ATIPSOM serta mengambil tindakan mengikut Seksyen 353,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Aktiviti Riadah Bermotosikal dan Sumbangan Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Ipoh Super Biker’s Club (ISBC) Sempena Sambutan Hari Polis dan Sambutan Ambang Kemerdekaan ke-69, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kes penyeludup melanggar anggota penguat kuasa di Kelantan adalah kes yang terpencil.

Beliau menasihatkan anggota yang bertugas di lapangan termasuk PGA dan pasukan khas supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah mempertahankan diri sesuai dengan undang-undang yang ada.

Terdahulu, media melaporkan, dua anggota Batalion 7 PGA cedera dilanggar kenderaan dipercayai dipandu tekong darat membawa muatan PATI ketika ia cuba mengelak pemeriksaan.

Kejadian berlaku pada pukul 8.30 malam Sabtu lalu di Kampung Chat, Tumpat, ketika dua anggota berpangkat Lans Koperal sedang membuat rondaan sempena Op Taring Wawasan Kelantan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.