
BESERI, 19 Ogos – Paras air Empangan Timah Tasoh kini berada pada tahap kritikal susulan cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino, dengan bekalan air dijangka hanya mampu bertahan kira-kira 50 hari jika tiada hujan dalam tempoh terdekat.
- Penyusutan paras air menyukarkan nelayan menangkap ikan kerana kawasan empangan mengecil.
- Pergerakan bot pelancong terganggu, pemandangan kurang menarik dan pengunjung semakin berkurangan.
- Kebimbangan terhadap kelestarian alam dan impak ekonomi setempat, warga mahu usaha pemulihan.
Berdasarkan data terkini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perlis, paras air empangan itu berada pada 26.45 meter, iaitu tahap kritikal berdasarkan nilai ambang mod kemarau.
Tinjauan RTM mendapati keadaan air yang semakin surut mula memberi kesan kepada komuniti setempat termasuk nelayan dan pengusaha aktiviti pelancongan.
Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Darat Timah Tasoh, Abd Azhar Aziz berkata, penyusutan paras air mengecilkan kawasan empangan sekali gus menyukarkan nelayan menangkap ikan.
“Setakat ini apabila air surut, nelayan agak terjejas sebab kawasan empangan menjadi kecil dan ruang untuk menangkap ikan semakin sukar.
“Bagi sektor pelancongan pula, pemandangan yang sebelum ini cantik sudah tidak dapat dinikmati seperti biasa dan pengunjung juga semakin berkurangan,” katanya.
Pemandu pelancong, Sarifah Mohammad Saad pula berkata, keadaan paras air ketika ini jauh lebih rendah berbanding beberapa bulan lalu sehingga menjejaskan pergerakan bot pelancong.
“Kalau dahulu air boleh sampai ke sini, tetapi sekarang keadaannya sangat kritikal. Ada kalanya bot tidak boleh menghampiri tebing kerana air terlalu cetek dan pengunjung perlu berjalan lebih jauh,” katanya.
Seorang pelancong, Rosyatimah Pachuri berkata, keadaan itu menjejaskan pengalaman pengunjung yang datang untuk menikmati tarikan Timah Tasoh.
Beliau berharap usaha pemulihan dapat dilaksanakan bagi memulihkan keadaan kawasan berkenaan.
Seorang lagi pelancong, Katmi Moon berkata, penyusutan paras air turut menimbulkan kebimbangan terhadap kelestarian alam sekitar serta kesannya kepada ekonomi setempat.
“Kalau keadaan air surut ini berterusan, saya bimbang ia akan memberi impak kepada ekonomi, terutama pelancongan dan pertanian,” katanya.