
ALOR SETAR, 19 Ogos – Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi.
- Sebanyak 1,823 kilogram minyak masak paket subsidi disita, bernilai RM5,457.50.
- Premis menyimpan minyak subsidi tanpa permit simpan atau lesen menjual barang kawalan sah.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961; jika sabit, denda hingga RM1 juta atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, penahanan dibuat menerusi serbuan yang dijalankan semalam.
Dalam serbuan itu, sebanyak 1,823 kilogram minyak masak paket satu kilogram bernilai RM5,457.50 turut disita.
“Lelaki berkenaan mengaku sebagai pemilik premis yang menjalankan aktiviti mengumpul minyak masak terpakai.
“Pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan menyimpan minyak masak paket bersubsidi tanpa permit menyimpan atau lesen menjual barang kawalan yang sah,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.