
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Tiga beranak maut selepas sebuah lori Jabatan Imigresen dipercayai melanggar lampu merah dan merempuh sebuah kereta sebelum melanggar pejalan kaki di Jalan Sultan Ismail, awal pagi ini.
- Seorang lelaki 53 tahun dan dua anak perempuannya, 25 dan 12 tahun, maut di tempat kejadian.
- Isteri, 55 tahun, cedera di kepala, tangan dan kedua-dua kaki; dirawat di Zon Merah HKL.
- Kemalangan membabitkan lori Imigresen tanpa muatan, dua kereta dan empat pejalan kaki; lori dipercayai hilang kawalan dan terbabas.
- Pemandu lori (43) dan pemandu kereta (50) ditahan; ujian nafas dan saringan air kencing negatif.
Kejadian kira-kira 1 pagi itu mengorbankan seorang lelaki berusia 53 tahun serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun yang meninggal dunia di tempat kejadian.
Isteri lelaki berkenaan, seorang wanita berusia 55 tahun, mengalami kecederaan di kepala, tangan dan kedua-dua kaki sebelum dihantar ke Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kemalangan itu membabitkan sebuah lori Imigresen tanpa muatan, dua kereta dan empat pejalan kaki.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu lelaki berusia 43 tahun dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Lori berkenaan dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dengan lampu beacon dan siren diaktifkan.
“Pada masa sama, sebuah kereta dipandu lelaki berusia 50 tahun bergerak lurus melalui persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau sebelum berlaku perlanggaran di tengah persimpangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata lori berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki daripada keluarga berkenaan serta sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 38 tahun yang sedang berhenti di persimpangan itu.
Katanya, ketiga-tiga pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami kecederaan.
“Pemandu lori dan pemandu kereta masing-masing berusia 43 dan 50 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Ujian pernafasan bagi mengesan kandungan alkohol serta ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua pemandu mendapati keputusan negatif,” katanya.
Beliau berkata polis turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mengesan saksi bebas serta membawa kenderaan terbabit untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.