Tujuh pekerja dicalon terima pingat atas jasa wira kebersihan

Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 19 Ogos – Seramai tujuh penerima Anugerah Pekerja Pembersihan 2026 akan disenaraikan dan dicalonkan kepada pihak istana untuk menerima pingat sebagai pengiktirafan atas jasa serta sumbangan mereka sebagai wira kebersihan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anugerah Pekerja Pembersihan 2026 dan Sumbangan Keprihatinan diberikan sebagai penghargaan kepada warga kerja pembersihan.
  • Pekerja pembersihan penting bagi kebersihan, kesihatan awam, perlindungan alam sekitar dan pembangunan bandar yang bersih serta mampan.
  • SWCorp dipuji di peringkat antarabangsa dengan Anugerah Emas Commonwealth untuk projek 'Zero Waste, Zero Hunger' dan meningkatkan latihan SKM.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, cadangan itu merupakan hasil perbincangan beliau bersama Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr M Noor Azman Taib, sebagai penghormatan kepada warga kerja yang banyak berjasa dalam memastikan kebersihan negara terpelihara.

Menurut beliau, amalan memberikan pengiktirafan sedemikian telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak hampir 10 tahun lalu.

“Sudah tiba masanya wira-wira pembersihan negara kita di negeri-negeri lain turut diberikan pengiktirafan dan juga penghormatan sewajarnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan 2026 di sini, pada Selasa.

Majlis bertemakan Wira Kebersihan, Nadi Kelestarian Negara itu dianjurkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama Alam Flora Sdn Bhd, SWM Environment Sdn Bhd dan E-Idaman Sdn Bhd.

Nga Kor Ming berkata, pekerja pembersihan merupakan antara tenaga penting dalam memastikan persekitaran negara sentiasa bersih, selamat dan berdaya huni.

Katanya, tanggungjawab mereka bukan sekadar melibatkan kerja pembersihan dan pengurusan sisa pepejal, malah turut menyumbang kepada pemeliharaan kesihatan awam, perlindungan alam sekitar serta pembangunan bandar yang bersih dan mampan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tanggungjawab menjaga kebersihan negara tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pekerja pembersihan, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama setiap rakyat.

“Sektor pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam kini mempunyai 26,899 pekerja menerusi tiga syarikat konsesi berkenaan, termasuk 1,972 pekerja wanita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut memberi penekanan terhadap pembangunan kompetensi, keselamatan pekerjaan dan pengiktirafan kemahiran bagi menyediakan prospek kerjaya yang lebih baik kepada warga industri.

Melalui peranan SWCorp sebagai Badan Peneraju Industri (ILB) serta Solid Waste Training Centre (SWTC), pekerja berpeluang meningkatkan kompetensi dan memperoleh pengiktirafan menerusi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) berdasarkan pengalaman, kemahiran dan kepakaran yang memenuhi piawaian kebangsaan.

Kerajaan menyasarkan seramai 200 pekerja bertauliah pada 2026 sebagai sebahagian usaha meningkatkan tahap profesionalisme serta pengiktirafan kerjaya dalam sektor berkenaan.

Selain tujuh penerima Anugerah Pekerja Pembersihan 2026, tiga lagi pekerja turut menerima Sumbangan Keprihatinan sebagai tanda penghargaan terhadap kebajikan warga kerja.

Majlis berkenaan turut menyaksikan kejayaan SWCorp di peringkat antarabangsa apabila dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Emas Commonwealth Environment & CSR Awards 2026 menerusi projek “Zero Waste, Zero Hunger – SWCorp Malaysia’s Food Waste Collection and REshare Redistribution Programme”.

Pengiktirafan itu diberikan atas inisiatif pengurusan sisa makanan yang menggabungkan usaha mengurangkan sisa makanan ke tapak pelupusan dengan pengagihan semula lebihan makanan kepada komuniti yang memerlukan.

Kejayaan berkenaan turut menjadi pengiktirafan antarabangsa pertama SWCorp di bawah platform Komanwel dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan kelestarian alam sekitar.

Sementara itu, Nga Kor Ming menyeru masyarakat supaya tidak membuang sampah sesuka hati, mengamalkan pengasingan sisa pepejal di punca, mengurangkan penggunaan barangan sekali guna serta menjaga kebersihan kemudahan dan kawasan awam.

Katanya, pembangunan fizikal negara perlu bergerak seiring dengan pembentukan mentaliti kelas pertama dengan menjadikan kebersihan sebagai budaya serta tanggungjawab bersama.

“Menjaga kebersihan bukan hanya tugas wira-wira pembersihan, tetapi tanggungjawab kita semua,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.