
SUNGAI PETANI, 18 Ogos – Polis Kedah menasihatkan rakyat Malaysia yang mahu menganjurkan konvoi atau bermotorsikal ke luar negara termasuk negara jiran supaya merancang dengan teliti dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh negara yang
dikunjungi.
- Pastikan lesen, cukai jalan dan spesifikasi motosikal memenuhi syarat negara yang dikunjungi.
- Semua alat ganti dan komponen mesti mendapat kelulusan; kenderaan tidak piawai boleh disita.
- Penganjur wajib memohon dan dibincang aspek keselamatan, laluan dan keadaan motosikal sebelum konvoi.
Ia termasuk memastikan lesen serta spesifikasi kenderaan yang digunakan memenuhi syarat ditetapkan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, langkah itu bertujuan untuk mengelakkan timbul sebarang masalah khususnya dengan pihak berkuasa di negara yang dikunjungi.
“Kalau kita nak ride, apatah lagi di negara luar, perkara pertama yang mesti kita lakukan ialah mematuhi undang-undang tempatan. Maksudnya, semua keperluan yang ditetapkan perlu dipatuhi. Saya percaya undang-undang di negara jiran tidak jauh berbeza dengan kita.
“Dalam konteks bermotosikal, sudah tentu ia melibatkan lesen, cukai jalan (road tax), cara pemanduan dan spesifikasi alat ganti yang digunakan.Seperti yang dimaklumkan kepada saya oleh pihak media tadi, ada motosikal yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Dalam konteks Kedah dan PDRM, kita juga menjalankan operasi sitaan, yang mana semua alat ganti dan komponen motosikal yang digunakan mesti mendapat kelulusan serta dibenarkan”, katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Program Amal Konvoi ‘Charity Ride’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Ipoh Superbiker’s Club sempena sambutan Hari Polis ke 219 di Sungai Petani, Kedah.
Berkenaan sekumpulan peserta konvoi motosikal dari Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand, baru-baru ini, beliau berkata pihaknya tidak dapat mengulas lanjut mengenai dakwaan kesalahan dilakukan kerana siasatan dan tindakan dilakukan pihak berkuasa
negara terbabit.
Beliau berkata, penganjur konvoi di Kedah yang membuat permohonan akan dipanggil bagi membincangkan aspek keselamatan termasuk laluan serta keadaan motosikal yang digunakan.
Ia bagi memastikan motosikal mematuhi spesifikasi yang ditetapkan serta mematuhi peraturan-peraturan lain.