
FLORES, 18 Ogos – Doktor di Nusa Tenggara Timur, Indonesia terpaksa merawat sekurang-kurangnya 200 mangsa yang cedera seorang diri di kampung Dampek selepas klinik kesihatan tempatan musnah sepenuhnya susulan bekalan peralatan perubatan amat terhad.
- Jumlah korban meningkat kepada 70 orang selepas gempa besar di Nusa Tenggara Timur.
- Doktor melaporkan ramai pesakit kritikal; beberapa mengalami kecederaan tengkorak dan otak tidak dapat diselamatkan.
- Ribuan penduduk dipindahkan, kerajaan isytihar darurat, lebih 3,500 anggota tentera dan polis dikerah untuk operasi bantuan.
Doktor Melinda Bella hanya sempat melarikan diri dengan membawa stetoskop di tangan selepas gempa bumi bermagnitud 7.7 menggegarkan Nusa Tenggara Timur.
“Sejujurnya, saya tidak mampu menanganinya. Selepas itu, ramai pesakit datang dalam keadaan sangat kritikal,” katanya.
Antara pesakit yang dirawat mengalami keretakan tengkorak dan kecederaan otak, namun tidak dapat diselamatkan.
Menurut pegawai agensi pengurusan bencana Indonesia dalam sidang media secara dalam talian pada Selasa, angka korban gempa bumi yang melanda pada Sabtu lalu meningkat kepada 70 orang.
Ribuan penduduk dipindahkan susulan bencana paling buruk di negara itu sejak gempa bumi pada 2022 yang mengorbankan ratusan nyawa di Jawa Barat.
Sebahagian mangsa kini berlindung di dalam khemah di kawasan terbuka kerana bimbang untuk kembali ke rumah masing-masing berikutan kemungkinan berlaku gegaran susulan.
Doktor Melinda berkata, meskipun bantuan perubatan dan petugas tambahan mula tiba dalam beberapa hari berikutnya, klinik sementara berkenaan masih mengalami kekurangan bekalan yang serius.
“Ketika ini, kami memerlukan pelbagai bekalan termasuk barangan keperluan, ubat-ubatan, peralatan perubatan dan katil hospital, yang amat diperlukan berikutan jumlah pesakit yang ramai,” katanya.
Lebih 3,500 anggota tentera dan polis telah dikerahkan ke kawasan berkenaan, menurut Setiausaha Kabinet, Teddy Indra Wijaya dalam satu kenyataan.
Bekalan elektrik hampir pulih sepenuhnya, namun pihak berkuasa masih berusaha membaiki talian pengagihan elektrik yang rosak, menurut syarikat utiliti milik kerajaan, Perusahaan Listrik Negara pada Ahad.
Kerajaan Nusa Tenggara Timur turut mengisytiharkan keadaan darurat bagi wilayah berkenaan, menurut Agensi Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), sekali gus membolehkan pihak berkuasa menggerakkan sumber serta peruntukan kewangan bagi operasi bantuan.- REUTERS