
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 membabitkan seramai 420,879 calon akan bermula 26 Oktober hingga 17 Disember 2026.
- Ujian bertutur Bahasa Melayu dan Inggeris dijalankan pada akhir Oktober dan awal November.
- Ujian Amali Sains dilaksanakan pertengahan November, diikuti peperiksaan bertulis selepas itu.
- Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dijadualkan pada akhir November dan awal Disember.
- Peperiksaan dilaksanakan di 3,334 pusat; Lembaga Peperiksaan akan umum jadual penuh; KPM komited kelancaran.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan berlangsung dari 26 hingga 29 Oktober, diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris dari 2 hingga 5 November.
“Ujian Amali Sains dijadualkan pada 16 hingga 18 November, manakala peperiksaan bertulis berlangsung dari 23 November hingga 17 Disember.
“Ujian Mendengar Bahasa Melayu pula ditetapkan pada 30 November, manakala Ujian Mendengar Bahasa Inggeris pada 1 Disember,” menurut kenyataan itu.
Peperiksaan SPM 2026 akan dilaksanakan di 3,334 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Tambah KPM, Lembaga Peperiksaan akan mengumumkan jadual waktu peperiksaan SPM 2026 yang lengkap dalam masa terdekat.
KPM turut komited memastikan peperiksaan SPM 2026 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.