Kerajaan sedia teliti cadangan gabung GST, SST

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 18 Ogos – Kerajaan sedia meneliti cadangan menggabungkan elemen Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi membentuk sistem percukaian negara yang lebih progresif, efisien, dan adil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri akui GST telus dan efisien tetapi membebankan semua lapisan masyarakat, termasuk golongan berpendapatan rendah.
  • Kerajaan komited laksanakan pembaharuan ekonomi agresif tanpa mengabaikan isu kos sara hidup rakyat.
  • Kestabilan politik penting untuk menarik pelabur; kerajaan pilih kompromi dan perkuat tadbir urus serta ketelusan perolehan untuk elak ketirisan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun GST diakui secara meluas sebagai satu sistem yang telus, pelaksanaannya membebankan semua lapisan masyarakat, termasuk golongan berpendapatan rendah.

Justeru, Kementerian Kewangan dipertanggungjawabkan untuk merangka satu penyelesaian percukaian yang hibrid.

“Saya tidak fikir kita patut terikat dengan itu. Beberapa penyesuaian perlu dibuat. Saya akui bahawa GST, yang saya katakan pada tahun 90-an sebagai sistem yang paling telus dan efisien, saya akui. Tetapi kita kena ingat, ia masih melibatkan semua golongan. Golongan paling miskin juga perlu membayar cukai. Daripada segi prinsip itu, saya mempunyai sedikit permasalahan daripada sudut hati nurani.

“Tidak, ia bukan sesuatu yang popular bagi ramai orang, tetapi itu adalah hakikat. Jadi, bagaimana saya hendak mengemukakan satu cadangan sistem percukaian yang semua perlu bayar, walaupun pada kadar percukaian yang kecil? Itu sahaja.

“Tetapi, apakah kita harus bergantung kepada SST sebagaimana sekarang? Sebab ia juga mempunyai kelemahan. Jadi, bagaimana kita boleh menggabungkan kedua-dua sistem ini dan mencari jalan baharu dalam menentukan sistem percukaian yang lebih progresif dan lebih efisien?,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan komited melaksanakan pembaharuan ekonomi secara agresif tanpa mengabaikan isu kos sara hidup yang menjejaskan punca pendapatan rakyat.

Berpandukan falsafah “menggapai di langit, mengakar di bumi”, Perdana Menteri menjelaskan bahawa negara perlu seimbang dalam mengejar kemajuan teknologi tinggi dan menangani isu ‘fundamental’ rakyat.

“Kalau kita tidak menguasai AI, pendigitalan dan teknologi baharu, kita akan ketinggalan. Dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), kita akan gagal sebagai sebuah negara. Itu maknanya kita perlu melihat ke hadapan. Tetapi jangan lupa, kita masih menghadapi masalah bahasa, masalah budaya, masalah kemiskinan dan kesenjangan antara golongan kaya dengan miskin. Itu maknanya kita mesti mengakar di bumi,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai iklim ekonomi semasa, Perdana Menteri menegaskan bahawa kestabilan politik merupakan syarat mutlak untuk menarik kemasukan pelabur ke dalam negara.

Tindakan bertempur secara politik hanya akan merundumkan ekonomi negara dan merugikan rakyat.

“Kestabilan politik itu sangat penting bagi negara kita. Orang tidak akan melabur kalau politik itu tidak stabil. Sebab itu orang sergah saya kerana nampak kompromi, tapi saya ada pilihan. Bertempur, ekonomi menjunam, kompromi akan memberi keterbatasan tentang langkah-langkah yang diambil Itu di antara dua keputusan yang harus dibuat. Saya memilih untuk menjaga supaya politik stabil dan ekonomi berkembang,” kata Datuk Seri Anwar lagi.

Datuk Seri Anwar berkata, usaha memperkukuh tadbir urus dan memastikan proses perolehan kerajaan lebih telus juga penting bagi membendung ketirisan serta memastikan sumber negara dapat dimanfaatkan untuk keperluan rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.