Ke arah memastikan kemampanan kewangan keluarga

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Memaksimumkan aset keluarga: manfaatkan rumah, kemahiran dan masa untuk jana pendapatan tambahan.
  • Mempelbagaikan sumber pendapatan: wujudkan pekerjaan sampingan, perniagaan atau pendapatan sewaan bagi kurangkan risiko.
  • Amalkan penjimatan dan kecekapan perbelanjaan melalui bajet, kawal utiliti, dan pembelian bijak.
  • Perkukuh kawalan dan perancangan kewangan: pantau aliran tunai, urus hutang, sediakan dana kecemasan dan perlindungan insurans.

Masalah kewangan yang dialami oleh individu dan keluarga merupakan isu yang tidak boleh dipandang ringan.

Beban kewangan yang berpanjangan boleh memberi kesan yang buruk terhadap kesejahteraan hidup, hubungan kekeluargaan dan kesihatan mental sekiranya tidak ditangani pada peringkat awal.

Oleh itu, setiap individu dan keluarga perlu mengambil langkah proaktif dalam mengurus kewangan secara berhemah bagi mengelakkan masalah tersebut daripada menjadi lebih serius dan sukar diselesaikan pada masa hadapan.

Kemampanan kewangan keluarga merupakan aspek penting dalam memastikan kesejahteraan hidup yang berterusan.

Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, peningkatan kos sara hidup, perubahan teknologi dan ketidaktentuan ekonomi global menuntut setiap keluarga mempunyai perancangan kewangan yang kukuh dan strategik.

Kemampanan kewangan keluarga merujuk kepada keupayaan sesebuah keluarga untuk memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan tanpa bergantung sepenuhnya kepada satu sumber pendapatan.

Ia melibatkan usaha menjana pendapatan yang mencukupi, mengurus perbelanjaan secara berhemah, membina simpanan serta membuat pelaburan yang sesuai bagi menjamin kestabilan kewangan jangka panjang.

Secara umumnya, terdapat empat (4) langkah utama bagi memastikan kemampanan kewangan keluarga.

1. Memaksimumkan Aset Keluarga

Aset keluarga bukan sahaja merujuk kepada rumah, tanah, kenderaan atau simpanan, malah termasuk kemahiran, kepakaran, pengalaman dan masa yang dimiliki oleh ahli keluarga.

Sebagai contoh, rumah boleh disewakan, tanah boleh diusahakan untuk pertanian atau penternakan kecil-kecilan, manakala kemahiran memasak, menjahit, mengajar, mereka bentuk dan teknologi maklumat boleh dijadikan sumber pendapatan tambahan.

Setiap aset yang dimiliki perlu dimanfaatkan secara optimum bagi meningkatkan nilai dan pulangan kepada keluarga.

2. Mempelbagaikan Sumber Pendapatan

Kebergantungan kepada satu sumber pendapatan sahaja boleh meningkatkan risiko kewangan sekiranya berlaku kehilangan pekerjaan atau kemelesetan ekonomi.

Oleh itu, keluarga perlu berusaha mewujudkan pelbagai sumber pendapatan seperti pekerjaan sampingan, perniagaan kecil, pelaburan, pendapatan sewaan, perkhidmatan dalam talian, jualan produk digital atau aktiviti ekonomi berasaskan kemahiran.

Semakin banyak sumber pendapatan yang dimiliki, semakin kukuh kedudukan kewangan keluarga dalam menghadapi sebarang cabaran.

3. Mengamalkan Penjimatan dan Kecekapan Perbelanjaan

Pengurusan perbelanjaan yang baik membolehkan keluarga mengelakkan pembaziran dan meningkatkan kadar simpanan.

Langkah ini termasuk menyediakan bajet bulanan, mengawal penggunaan utiliti seperti elektrik dan air, mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu, memanfaatkan teknologi digital untuk urusan harian serta membuat pembelian secara bijak.

Penjimatan yang konsisten walaupun dalam jumlah kecil mampu memberikan impak yang besar dalam jangka masa panjang.

4. Memperkukuh Kawalan dan Perancangan Kewangan Keluarga

Kawalan kewangan melibatkan pemantauan aliran tunai, pengurusan hutang, penyediaan dana kecemasan, perlindungan takaful atau insurans serta perancangan pelaburan dan persaraan.

Keluarga juga perlu sentiasa menilai semula kedudukan kewangan mereka dan membuat penambahbaikan mengikut perubahan keperluan serta keadaan ekonomi semasa.

Perancangan yang sistematik akan membantu keluarga mencapai matlamat kewangan dengan lebih berkesan.

Selain daripada itu, pelaburan kepada ilmu dan latihan peningkatan diri penting dalam kemajuan diri dan keluarga.

Pengetahuan dan kemahiran juga menjana pendapatan yang lumayan sekiranya dikembangkan dalam bentuk perniagaan dan perkhidmatan.

Hasil daripada pelaksanaan empat langkah ini, keluarga akan mempunyai kedudukan kewangan yang lebih stabil dan berdaya tahan.

Dana yang terkumpul boleh digunakan untuk pendidikan anak-anak, pembelian rumah, rawatan kesihatan, kecemasan, ibadah, pelaburan dan persediaan persaraan.

Selain itu, keluarga juga dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa, mengurangkan tekanan kewangan serta meningkatkan kesejahteraan hidup secara keseluruhan.

Jangan terlalu bergantung kepada penjimatan semata-mata tetapi secara kreatif dan inovatif membentuk saluran penjanaan baru dan terlibat dalam pelaburan yang menguntungkan kini dan pada masa hadapan.

Kesimpulannya, kemampanan kewangan keluarga tidak bergantung semata-mata kepada jumlah pendapatan yang diperoleh, tetapi lebih kepada keupayaan mengurus sumber yang ada secara bijak dan berstrategi.

Dengan memaksimumkan aset, mempelbagaikan sumber pendapatan, mengamalkan penjimatan serta memperkukuh kawalan kewangan, sesebuah keluarga mampu mencapai kestabilan kewangan yang mampan dan menikmati kehidupan yang lebih sejahtera pada masa hadapan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Iszan Hana Kaharudin
Pensyarah Pusat Pengajian Citra Universiti
Timbalan Pengarah
Pusat Pembangunan Keusahawanan & EKS
Universiti Kebangsaan Malaysia

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.