
SAUDARA PENGARANG
- Fraktur selepas trauma ringan boleh jadi petanda osteoporosis; jangan anggap ia sebagai kemalangan biasa.
- Fraktur pertama meningkatkan risiko fraktur berikutnya; bertindak segera untuk nilai dan rawat tulang.
- Tanyakan kepada doktor tentang pemeriksaan kesihatan tulang dan rawatan anti-osteoporosis sebelum pesakit discaj.
- Kurangkan risiko jatuh dengan ubah rumah, kuatkan otot dan betulkan faktor persekitaran untuk elak fraktur seterusnya.
Seorang ibu berusia 70 tahun tergelincir ketika keluar dari bilik air. Jatuhnya bukan daritempat tinggi, hanya daripada posisi berdiri.
Namun akibatnya besar apabila tulang pinggul patah dan beliau perlu menjalani pembedahan serta proses pemulihan yang panjang.
Bagi keluarga, perkara pertama yang difikirkan tentu sama ada pembedahan berjaya, bila ibu boleh pulang dan bila beliau boleh berjalan semula. Apabila keadaan semakin
stabil, semua orang menarik nafas lega kerana menyangka episod itu sudah berakhir.
Namun ada satu soalan yang sering terlepas daripada perhatian: mengapa tulangnya boleh patah begitu mudah hanya selepas satu jatuh yang kelihatan ringan?
Di sinilah kita perlu mengubah cara melihat fraktur dalam kalangan warga emas. Tulang patah selepas trauma ringan bukan semestinya sekadar kemalangan biasa. Ia boleh menjadi petanda bahawa tulang sudah kehilangan kekuatan akibat osteoporosis.
Osteoporosis berlaku apabila tulang menjadi semakin lemah dan rapuh sehingga lebih mudah patah. Cabarannya, seseorang tidak semestinya berasa sakit atau menyedari
perubahan tersebut sebelum fraktur berlaku.
Itulah sebabnya osteoporosis sering dikenali sebagai penyakit senyap. Bagi sesetengah orang, tanda pertama bukan sakit tulang atau rasa tidak selesa, tetapi fraktur selepas satu kejadian jatuh yang pada pandangan kita kelihatan biasa.
Bayangkan perbezaannya. Orang yang mempunyai tulang sihat mungkin terjatuh dan mengalami lebam atau sakit beberapa hari. Bagi seseorang yang tulangnya sudah rapuh, jatuh yang sama boleh menyebabkan pergelangan tangan, tulang belakang atau pinggul patah.
Fraktur akibat trauma ringan seperti jatuh daripada paras berdiri dikenali sebagai fraktur kerapuhan atau fragility fracture. Istilahnya mungkin kedengaran asing, tetapi maksudnya mudah: tulang patah akibat hentakan yang biasanya tidak sepatutnya menyebabkan tulang yang sihat patah.
Maka, apabila ibu atau ayah patah tulang selepas tergelincir di bilik air atau tersadung ketika berjalan, jangan melihat kejadian jatuh itu sahaja. Kita juga perlu bertanya sama ada tulangnya sudah menjadi terlalu rapuh.
Persoalan ini penting kerana merawat tulang yang patah tidak semestinya merawat masalah yang menyebabkan tulang itu mudah patah. Pembedahan mungkin berjaya menyambungkan tulang, tetapi osteoporosis yang tidak dikenal pasti masih boleh kekal selepas pesakit pulang.
Di sinilah fraktur pertama membawa satu amaran penting. Seseorang yang pernah mengalami fraktur kerapuhan mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami fraktur berikutnya, terutama jika punca kelemahan tulangnya tidak dinilai dan ditangani.
Dalam bidang osteoporosis, doktor menggunakan istilah imminent fracture risk untuk menggambarkan peningkatan risiko fraktur seterusnya dalam tempoh selepas fraktur pertama. Bagi masyarakat, mesejnya jauh lebih mudah: jangan tunggu patah kali kedua sebelum memikirkan kesihatan tulang.
Fraktur pertama sepatutnya membuka peluang untuk kita bertindak. Kita mungkin tidak dapat mengubah kecederaan yang sudah berlaku, tetapi masih boleh mengenal pasti osteoporosis, menilai risiko jatuh dan mengambil langkah bagi mengurangkan kemungkinan fraktur berikutnya.
Kajian tempatan menunjukkan mengapa perkara ini perlu diberi perhatian. Dalam sebuah hospital yang mempunyai sistem penjagaan khusus selepas fraktur, 66 peratus pesakit menerima rawatan anti-osteoporosis ketika keluar hospital, berbanding hanya 4.2 peratus dalam penjagaan biasa.
Apa maknanya kepada orang awam? Bayangkan 100 pesakit yang patah tulang kerana osteoporosis. Dalam satu sistem, kira-kira 66 orang menerima rawatan untuk masalah tulang mereka sebelum pulang. Dalam perbandingan tersebut, bagi penjagaan biasa, hanya sekitar empat orang menerimanya ketika discaj.
Angka itu bukan untuk mengatakan sesebuah hospital lebih baik daripada hospital lain. Ia menunjukkan bahawa tanpa proses susulan yang tersusun, rawatan boleh terlalu tertumpu kepada tulang yang sudah patah sehingga masalah tulang rapuh yang mendasarinya berisiko terlepas pandang.
Bagi keluarga, perkara ini boleh bermula dengan beberapa soalan mudah. Selepas ibu atau ayah mengalami patah tulang, kita lazimnya mahu tahu bila mereka boleh pulang, berapa lama luka akan sembuh dan bila mereka boleh berjalan semula.
Namun tanyakan juga kepada doktor: adakah fraktur ini mungkin berkaitan dengan osteoporosis? Perlukah kesihatan tulangnya diperiksa? Adakah terdapat rawatan atau langkah lain yang boleh membantu mengurangkan risiko tulang patah sekali lagi?
Keluarga tidak perlu memahami semua istilah perubatan untuk bertanya soalan tersebut. Apa yang penting ialah memastikan perhatian tidak berhenti pada kecederaan yang kelihatan pada X-ray, sedangkan kelemahan tulang di sebaliknya mungkin masih belum ditangani.
Penilaian kesihatan tulang juga bukan bergantung kepada satu ujian sahaja. Doktor boleh mempertimbangkan usia, sejarah fraktur, risiko jatuh, penyakit tertentu, ubat yang digunakan serta keadaan kesihatan keseluruhan sebelum menentukan langkah seterusnya.
Sesetengah pesakit mungkin memerlukan ujian ketumpatan mineral tulang, manakala yang lain memerlukan rawatan osteoporosis atau intervensi berdasarkan tahap risiko masing-masing. Keperluan setiap pesakit berbeza dan perlu dinilai secara individu.
Mencegah fraktur seterusnya juga bukan sekadar soal ubat. Tulang yang rapuh menjadi lebih berbahaya apabila digabungkan dengan risiko jatuh seperti lantai licin, pencahayaan kurang baik, kelemahan otot atau masalah keseimbangan.
Satu kejadian yang kelihatan kecil boleh membawa perubahan besar. Selepas fraktur, ada warga emas yang mengambil masa lama untuk kembali berjalan seperti sebelumnya, malah ada yang mula memerlukan bantuan dalam aktiviti harian.
Malaysia pula mempunyai semakin ramai rakyat yang hidup hingga usia lanjut. Cabaran kita bukan sekadar memastikan mereka hidup lebih lama, tetapi membantu mereka terus bergerak, mengurus diri dan mengekalkan kebebasan selama yang mungkin.
Fraktur kerapuhan oleh itu tidak wajar dilihat sebagai masalah tulang semata-mata. Ia boleh menjadi titik perubahan antara seorang ibu yang masih mampu bergerak sendiri dengan seorang ibu yang mula memerlukan bantuan dalam rutin hariannya.
Jika seseorang berusia 50 tahun ke atas mengalami fraktur selepas jatuh ringan, gunakan kejadian itu sebagai peluang untuk bertanya tentang kesihatan tulangnya. Jangan biarkan perhatian berakhir sebaik sahaja tulang sudah dirawat dan pesakit dibenarkan pulang.
Kita mungkin tidak dapat mencegah setiap kejadian jatuh atau setiap fraktur. Namun apabila fraktur pertama berlaku, kita masih mempunyai peluang untuk memahami mengapa ia berlaku dan mengambil tindakan sebelum perkara yang sama berulang.
Fraktur pertama sudah terjadi. Apa yang lebih penting sekarang ialah apa yang kita lakukan selepasnya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Nur Khadijah Muhamad Jamil
Pensyarah
Jabatan Farmakologi
Fakulti Perubatan
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)