
JITRA, 22 September – Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) terus komited memperkasakan bidang kecerdasan buatan (AI) khususnya dalam kalangan generasi muda di peringkat sekolah.
- Bengkel lanjutan memberi pendedahan praktikal AI dan robotik menggunakan mBot2 untuk penerokaan serta penyelidikan teknologi.
- Fokus bengkel pada aplikasi pertuturan, pemprosesan imej (pengesanan wajah dan objek), serta integrasi AI bersama robot pendidikan.
- Matlamat bengkel mencetuskan minat pelajar dalam STEM, pengaturcaraan dan penyelidikan teknologi; dianjurkan bersama MAIPs, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara.
Ini menerusi penganjuran Bengkel Lanjutan Pendidikan Kecerdasan Buatan dan Robotik yang melibatkan penyertaan seramai 80 peserta dalam kalangan pelajar dari 10 buah sekolah seluruh Perlis yang berlangsung di Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, pagi semalam.
Pengerusi Eksekutif FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata penganjuran program ini merupakan satu usaha FCoEE untuk membawa pelajar selangkah lebih jauh daripada pembelajaran asas robotik kepada penerokaan kecerdasan buatan dan robotik yang lebih maju.
Beliau berkata menerusi bengkel tersebut, setiap pelajar diberikan pendedahan secara praktikal kepada teknologi kecerdasan buatan dan robotik, dengan memberi fokus kepada penerokaan serta penyelidikan menggunakan robot pendidikan generasi baharu atau mBot2 yang diintegrasikan dengan kecerdasan buatan.
“Sepanjang program, pelajar akan meneroka tiga komponen utama iaitu Aplikasi Pertuturan, Pemprosesan Imej melibatkan pengecaman wajah dan objek, serta aplikasi kecerdasan buatan bersama robot pendidikan generasi baharu.
“Pelajar bukan sekadar belajar bagaimana robot bergerak, tetapi memahami bagaimana sesuatu sistem boleh menerima input, memproses maklumat melalui kecerdasan buatan, membuat keputusan dan seterusnya menghasilkan tindakan melalui robot”, katanya menerusi satu kenyataan.
Tambahnya, pelaksanaan bengkel dilaksanakan diharap dapat mencetuskan minat pelajar untuk terus meneroka bidang kecerdasan, robotik, Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), pengaturcaraan dan penyelidikan teknologi pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Bengkel Lanjutan Pendidikan Kecerdasan Buatan dan Robotik yang berlangsung di Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara.
Program dianjurkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara.