
SHAH ALAM, 17 Ogos – Tuan rumah, Selangor mempamerkan prestasi positif dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, setakat ini.
- Menteri Besar yakin kontinjen Selangor mampu raih keputusan cemerlang di laman sendiri.
- Saingan kekal sengit, Terengganu, Johor dan Wilayah Persekutuan terus mengikut rapat.
- Keistimewaan tuan rumah: sokongan penyokong, kebiasaan venue dan infrastruktur latihan memberi kelebihan kompetitif.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yakin kontinjen negeri boleh mencapai keputusan cemerlang di laman sendiri.
Menurutnya, saingan kekal sengit dengan Terengganu, Johor dan Wilayah Persekutuan terus mengekori rapat dalam perebutan kedudukan terbaik.
Walau bagaimanapun, status selaku tuan rumah memberikan kelebihan kompetitif kepada Selangor melalui sokongan para penyokong, di samping para atlet sudah biasa dengan venue perlawanan dan infrastruktur latihan.
“Kita (Selangor) ada kelebihan dan momentum itu diharap dapat dikekalkan menerusi pencapaian keputusan cemerlang. Tetapi, Selangor menerima saingan sengit daripada beberapa negeri seperti Terengganu, Johor dan Wilayah Persekutuan.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, situasi seumpama itu dilihat berterusan. Namun, selaku tuan rumah, Selangor ada kelebihan,” katanya.
Setakat 9.30 malam, Selangor masih mendahului carta pungutan pingat keseluruhan dengan 14 emas, 15 perak dan sembilan gangsa.
Daripada jumlah itu, Selangor berjaya mengutip tiga pingat emas melalui acara petanque, catur dan berbasikal lebuh raya pada Isnin.
Selain lima pingat perak melalui acara polo air wanita dan lelaki, tenpin boling, menembak dan olahraga.