Pekerja binaan ‘terjumpa’ emas RM44 juta di tapak pembinaan Belgium

Foto Polis Dendermonde

BRUSSELS, 17 Ogos – Kerja-kerja pengubahsuaian sebuah bangunan di Dendermonde, timur Flanders, bertukar menjadi penemuan luar biasa apabila sekumpulan pekerja binaan menemukan timbunan emas yang dianggarkan bernilai lebih AS$10 juta (RM44 juta).

RINGKASAN BERITA AI
  • Penemuan dibuat semasa kerja memasang paip pembetungan di ruang bawah tanah, emas disembunyikan di sebalik dinding.
  • Termasuk kira-kira 50 jongkong emas dan longgokan syiling emas, menurut polis.
  • Semua emas telah disenaraikan dan disimpan dalam peti besi berkawalan keselamatan tinggi kerajaan persekutuan.
  • Tapak dipagari, polis menasihatkan orang ramai dan pemburu harta karun tidak memasuki kawasan; pemilikan harta masih belum jelas.

Penemuan itu berlaku pada Selasa ketika pekerja menjalankan kerja asas bagi memasang paip sistem pembetungan di sebuah bangunan milik badan kebajikan tempatan, CAW East-Flanders.

Menurut polis Belgium, pekerja berkenaan segera memaklumkan penemuan tersebut selepas menemui sejumlah besar emas, termasuk kira-kira 50 jongkong emas dan longgokan syiling emas yang dipercayai disembunyikan di sebalik dinding ruang bawah tanah.

Seorang pekerja yang ditemu bual stesen penyiaran VRT berkata, reaksi pertama mereka adalah tidak percaya dan terkejut dengan penemuan berkenaan.

“Kami menemuinya ketika menjalankan kerja tanah untuk memasang paip pembetungan. Sudah tentu kami tidak menjangka akan menemukan emas,” katanya yang hanya dikenali sebagai Kobe.

Polis berkata kesemua emas berkenaan telah disenaraikan dan disimpan dengan segera di dalam peti besi berkawalan keselamatan tinggi milik perkhidmatan kerajaan persekutuan.

Dalam pada itu, polis memberi amaran kepada pemburu harta karun supaya tidak cuba memasuki tapak pembinaan yang kini dipagari selepas penemuan tersebut menarik perhatian orang ramai.

“Sepatah nasihat emas. Ia benar-benar tidak berbaloi,” kata polis menerusi hantaran di Facebook sambil menegaskan bahawa kawasan berkenaan bukan lokasi untuk pemburu harta karun.

Status pemilikan sah harta karun itu masih belum jelas, termasuk sama ada mana-mana pihak yang berhak menyimpannya.

“Marilah kita berharap harta karun ini akhirnya berada di tangan yang sepatutnya,” menurut polis.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.