Inflasi Malaysia susut kepada 1.8 peratus pada Julai – DOSM

Gambar hiasan / Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Inflasi Malaysia susut kepada 1.8 peratus pada Julai 2026 daripada 1.9 peratus pada Jun, dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat kepada 137.1 mata berbanding 134.7 mata pada Julai 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kumpulan pengangkutan merekodkan peningkatan lebih perlahan, 1.4 peratus pada Julai berbanding 2.8 peratus pada Jun.
  • Inflasi bagi maklumat dan komunikasi meningkat kepada 3.4 peratus, manakala makanan serta perumahan naik kepada 1.8 peratus.
  • Sebanyak 65.3 peratus item (374 daripada 573) mencatatkan kenaikan harga; tujuh item meningkat melebihi 10 peratus.
  • Tujuh negeri mencatat kadar inflasi melebihi nasional, dengan Negeri Sembilan tertinggi di 2.5 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan, peningkatan itu disumbangkan terutamanya oleh kumpulan pengangkutan yang menokok perlahan kepada 1.4 peratus pada Julai daripada 2.8 peratus bulan sebelumnya.

Inflasi bagi kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan pula sederhana kepada 2.9 peratus pada Julai daripada 3.4 peratus pada Jun.

Ini diikuti perkhidmatan restoran dan penginapan pada 2.0 peratus daripada 2.6 peratus, serta pendidikan pada 2.0 peratus daripada 2.1 peratus.

“Kumpulan insurans dan perkhidmatan kewangan serta kesihatan masing-masing merekodkan inflasi lebih rendah pada 1.1 peratus pada Julai 2026, berbanding 5.7 peratus dan 1.2 peratus pada bulan sebelumnya.

“Selain itu, kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah rutin meningkat secara marginal sebanyak 0.3 peratus berbanding 0.4 peratus pada Jun,” katanya dalam kenyataan.

DOSM berkata, inflasi bagi kumpulan maklumat dan komunikasi meningkat kepada 3.4 peratus pada Julai daripada 2.4 peratus pada Jun, manakala kumpulan makanan dan minuman serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat kepada 1.8 peratus daripada 1.4 peratus.

Sementara itu, inflasi bagi kumpulan rekreasi, sukan dan kebudayaan meningkat kepada 1.2 peratus daripada 1.1 peratus, manakala pakaian dan kasut meningkat kepada 0.1 peratus daripada sifar.

“Sebanyak 65.3 peratus item atau 374 daripada 573 item merekodkan kenaikan harga. Daripada jumlah itu, 367 item atau 98.1 peratus mencatatkan peningkatan kurang atau sama dengan 10 peratus, manakala tujuh item merekodkan peningkatan melebihi 10 peratus pada Julai 2026.

“Baki 157 item atau 27.4 peratus menunjukkan penurunan harga, manakala 42 item kekal tidak berubah,” katanya.

DOSM berkata, tujuh negeri merekodkan kadar inflasi melebihi kadar nasional 1.8 peratus, dengan Negeri Sembilan mencatat kadar tertinggi sebanyak 2.5 peratus, diikuti Kedah dan Pahang masing-masing 2.3 peratus.

Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman kecuali Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan yang tidak merekodkan sebarang perubahan.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, inflasi keseluruhan tidak berubah pada Julai, menyamai kadar yang dicatatkan pada Jun.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.