
MILAN, 19 Oktober – Lazio mempamerkan aksi cemerlang apabila membenam Juventus 3-0 dalam aksi Serie A di Turin pada Ahad.
- Oliver Provstgaard (min 37), Gustav Isaksen (min 66) dan Fisayo Dele-Bashiru muncul penyumbang gol perlawanan.
- Lazio mengumpul 19 mata selepas tujuh perlawanan, berkongsi mata dengan Inter namun kedua kerana perbezaan jaringan.
- Juventus hanya satu kemenangan dalam lima perlawanan liga terakhir, kini di tangga kelapan dengan 11 mata.
- Spalletti: dikuasai, bermain perlahan dan ketandusan idea. Gattuso: kemenangan positif, namun pesan mengekalkan pendekatan dan kerja keras.
Keputusan berkenaan terhasil menerusi jaringan Oliver Provstgaard, Gustav Isaksen dan pemain gantian, Fisayo Dele-Bashiru.
Kemenangan itu menyaksikan Lazio mengumpul 19 mata selepas tujuh perlawanan untuk berkongsi mata dengan pendahulu liga, Inter Milan, namun berada di tangga kedua berdasarkan perbezaan jaringan.
Provstgaard membuka tirai jaringan pada minit ke-37 menerusi tandukan sebelum pemain sayap Denmark, Isaksen, menggandakan kelebihan pada minit ke-66 dengan rembatan rendah yang menewaskan pertahanan dan penjaga gol Juventus.
Dele-Bashiru melengkapkan kemenangan bergaya Lazio tiga minit sebelum tamat perlawanan apabila memecah masuk kubu Juventus hingga ke kotak penalti sebelum menyudahkan peluang dengan rembatan leret.
Juventus yang dilihat bergelut mencari rentak permainan gagal memberikan tentangan berkesan.
Pasukan berkenaan hanya mencatat satu kemenangan dalam lima perlawanan liga terakhir, sekali gus kekal di tangga kelapan dengan 11 mata, ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Inter Milan.
“Kami jelas dikuasai lawan, bermain perlahan dan ketandusan idea. Sukar untuk difahami,” kata jurulatih Juventus, Luciano Spalletti.
Sementara itu, ketua jurulatih Lazio, Gennaro Gattuso menyifatkan kemenangan berkenaan sebagai petanda positif, buat pasukannya, namun mengingatkan para pemainnya supaya mengekalkan pendekatan sama bagi menghadapi perlawanan seterusnya.
“Kami mungkin menjadi pasukan kejutan dalam liga ini, tetapi kami tidak boleh mengubah pendekatan. Kami perlu mengharungi setiap perlawanan satu demi satu dan bekerja keras,” katanya. – AFP.