Belanjawan 2027: Kebajikan pesawah Kedah tidak dipinggirkan

Foto BERNAMA

ALOR SETAR, 19 Oktober – Sektor penanaman padi dan kebajikan pesawah di Kedah tidak dipinggirkan dalam Belanjawan 2027, dengan pelbagai bantuan, subsidi serta insentif terus disediakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Belanjawan dijangka meningkatkan hasil dan pendapatan pesawah, kata Romli Ishak.
  • Kerajaan digesa memperhalusi kaedah pengagihan subsidi benih supaya bantuan lebih berkesan.
  • Pemberian subsidi benih secara langsung membantu pesawah mendapatkan benih berkualiti pada harga lebih berpatutan.
  • Insentif penuaian dinaikkan kepada RM100 sehektar; insentif pembajakan RM300 kekal; RM20 juta untuk baja foliar dan projek lima musim diberi keutamaan.

Pengerusi Rakan Strategik Komuniti (STARTKOMPEN) MADANI Kedah, Datuk Romli Ishak menyifatkan, langkah itu berupaya meningkatkan hasil dan pendapatan pesawah.

“Pertambahan ini sebenarnya boleh kita jadikan sebagai dorongan kepada pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan juga petani untuk melihat bahawa usaha yang dilaksanakan melalui bajet diumumkan ini mampu meningkatkan hasil petani,” katanya kepada RTM.

Dalam aspek pelaksanaan Belanjawan 2027, beliau berharap, kerajaan dapat memperhalusi kaedah pengagihan subsidi benih supaya bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada petani.

Romli berpendapat, pemberian subsidi benih secara terus boleh membantu pesawah mendapatkan benih berkualiti pada harga lebih berpatutan.

Sementara itu, salah seorang belia yang menetap di kawasan MADA, Aminnuddin Ghazali menyifatkan Belanjawan 2027 sebagai inisiatif positif kerajaan, khususnya dalam memberi perhatian kepada keperluan pesawah di Kedah.

“Melihat kepada pembentangan belanjawan ini, saya merasakan ia satu inisiatif yang baik diberikan kerajaan untuk tahun depan, terutama di Kedah seperti berkaitan kos padi dan sebagainya,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Projek Tanaman Padi Lima Musim Dalam Dua Tahun di kawasan MADA terus diberi keutamaan bagi meningkatkan hasil serta pendapatan pesawah.

Bagi pesawah seluruh negara, kerajaan menyediakan bantuan RM2.62 bilion, bersamaan kira-kira RM4,300 bagi setiap hektar sawah, meliputi antaranya subsidi benih, baja, racun, upah membajak dan harga padi.

Kadar insentif penuaian padi turut dinaikkan daripada RM50 kepada RM100 sehektar semusim, manakala insentif pembajakan RM300 dikekalkan dan akan diperluas kepada pesawah Sabah serta Sarawak.

Selain itu, RM20 juta disediakan bagi membekalkan baja foliar di lebih 10,000 hektar tanah sawah untuk membantu memulih dan menyuburkan semula tanah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.