26 syarikat Malaysia sertai Misi Pecutan Eksport ke Kemboja

Foto Fail RTM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Sebanyak 26 syarikat Malaysia akan menyertai Misi Pecutan Eksport (EAM) ke Phnom Penh, Kemboja yang diterajui oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

RINGKASAN BERITA AI
  • Misi meneroka peluang perniagaan serta memperkukuh kehadiran syarikat Malaysia di pasaran Kemboja.
  • Delegasi melibatkan sektor makanan dan minuman, FMCG, alat ganti automotif serta produk gaya hidup.
  • Perdagangan dua hala meningkat ketara; eksport Malaysia ke Kemboja naik disokong oleh petroleum, logam, tekstil, bahan kimia dan makanan diproses.

Misi yang berlangsung dari 18 hingga 21 Ogos ini bakal meneroka peluang perniagaan serta memperkukuh kehadiran syarikat tempatan di pasaran berkenaan.

Syarikat tempatan yang mengambil bahagian merangkumi beberapa sektor utama termasuk makanan dan minuman, barangan pengguna bergerak pantas (FMCG), alat ganti dan komponen automotif serta produk gaya hidup.

Menerusi misi itu, pengeksport Malaysia berpeluang mengadakan pertemuan dengan bakal pembeli, pengimport dan pengedar, selain mendalami keadaan pasaran serta persekitaran perniagaan Kemboja secara lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, misi berkenaan diteruskan berdasarkan prestasi positif aktiviti perdagangan di pasaran tersebut.

”Misi pada 2025 membabitkan sembilan syarikat Malaysia, berjaya menjana jualan eksport berjumlah RM41.3 juta mengatasi sasaran awal sebanyak RM34 juta.

Susulan momentum itu, saiz delegasi hampir tiga kali ganda tahun ini, mencerminkan peningkatan minat syarikat Malaysia terhadap pasaran Kemboja serta usaha berterusan MATRADE menghubungkan syarikat tempatan dengan peluang perniagaan baharu,” jelas beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Sementara itu katanya, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kemboja pada separuh pertama 2026 meningkat 51.1 peratus kepada RM3.32 bilion berbanding RM2.20 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Eksport Malaysia ke Kemboja turut meningkat 40.9 peratus kepada RM2.45 bilion, didorong produk petroleum (RM941.4 juta), barangan keluaran logam (RM453.1 juta), tekstil, pakaian dan kasut (RM237.2 juta), bahan kimia dan produk kimia (RM199.5 juta) serta makanan diproses (RM181.3 juta).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.