Program J-KIS tarik penyertaan pelajar perkasa jati diri

Foto RTM

BUKIT PALAH, 17 Ogos – Program Jerayawar Kesedaran Isu Sosial (J-KIS) akan ditambahbaik pengisiannya bagi setiap siri pelaksanaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aktiviti J-KIS dipelbagaikan, tidak hanya ceramah, termasuk pameran dan reruai untuk interaksi pelajar dan agensi.
  • Program memberi pendedahan kesedaran sosial, nilai agama dan psikospiritual Islam melalui perkongsian pihak berkepakaran.
  • Menangani cabaran remaja dalam persekitaran digital dan media sosial melalui bimbingan dan panduan.
  • Matlamat mempersiapkan pelajar dengan jati diri kukuh, pengetahuan dan semangat tinggi untuk menghadapi isu sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, antara penambahbaikan yang dilaksana termasuk mempelbagaikan aktiviti yang tidak hanya tertumpu kepada ceramah semata-mata.

Beliau berkata, pelaksanaannya turut mengambil kira realiti kehidupan remaja yang bukan sahaja berhadapan dengan cabaran konvensional malah turut terdedah kepada pelbagai risiko dalam persekitaran digital dan media sosial.

Melalui J-KIS, peserta didedahkan kepada pengisian yang menggabungkan aspek kesedaran sosial, nilai agama, psikospiritual Islam serta perkongsian daripada pihak berkepakaran dan agensi berkaitan.

“Kita juga memberikan bimbingan dan panduan kepada anak-anak. Pada masa yang sama, jabatan dan agensi agama serta kerajaan negeri turut mengadakan pameran dan menyediakan reruai untuk memberi peluang kepada anak-anak melihat, bertanya serta mendapatkan maklumat berkaitan isu-isu semasa.

Apa yang ingin kita tekankan ialah pentingnya kita mempersiapkan anak-anak dengan jati diri yang kukuh, pengetahuan, ilmu dan semangat yang tinggi agar mereka mampu menghadapi serta mendepani pelbagai cabaran dan isu sosial yang berlaku dalam negara,” katanya selepas merasmikan Program J-KIS Zon Selatan di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah, Melaka.

Seramai 600 pelajar sekolah dan guru dari tiga negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor berhimpun bagi program berkenaan, mewakili Zon Selatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.