
KUALA NERUS, 17 Ogos – Sebanyak 524 projek bilik darjah tambahan sedang dilaksanakan di seluruh negara bagi menampung keperluan kemasukan murid Tahun Satu sesi persekolahan 2027, membabitkan kos RM668 juta, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
- 517 projek telah menerima Surat Setuju Terima dan tiga projek telah disiapkan setakat ini.
- Penyelesaian awal didorong oleh sistem pembinaan modular dan IBS, kecekapan pegawai JKR serta pemilihan kontraktor berprestasi baik.
- Projek siap awal membolehkan kemudahan digunakan segera dan menyokong sasaran pelaksanaan sistem persekolahan satu sesi menjelang 2030.
Katanya, daripada jumlah itu, 517 projek sudah menerima Surat Setuju Terima (SST), dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 143 projek, manakala tiga projek telah disiapkan setakat ini.
“Antara sebab projek dapat disiapkan lebih awal ialah sistem pembinaan yang digunakan, iaitu modular dan IBS.
“Kedua, kecekapan pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR), sama ada di peringkat daerah, negeri atau pusat, bagi memastikan projek demi kepentingan rakyat dapat disiapkan mengikut jadual. Selain itu, pemilihan kontraktor yang mempunyai rekod prestasi baik turut menjadi antara faktor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Perdana Projek Siap Mendahului Jadual kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, di Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Jembal, di sini, hari ini.
Sebanyak 14 projek pembangunan aset pendidikan yang disiapkan lebih awal daripada jadual diserahkan pada majlis berkenaan.
Kesemua projek itu berjaya disiapkan 986 hari lebih awal secara kumulatif, bersamaan 2.7 tahun daripada jadual asal, dengan kos keseluruhan RM34 juta.
Penyelesaian projek lebih awal membolehkan kemudahan pendidikan berkenaan digunakan segera, khususnya bagi sekolah yang dijadualkan dibuka pada awal tahun depan.
Pendekatan berkenaan turut menyokong sasaran kerajaan untuk merealisasikan sistem persekolahan satu sesi menjelang 2030.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Ahmad berkata, secara keseluruhan, projek berkenaan melibatkan 459 sekolah serta 1,780 bilik darjah terdiri daripada 1,255 bilik darjah perdana dan 525 bilik darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Beliau berkata, Selangor merekodkan jumlah projek tertinggi, iaitu 143, dengan kesemua projek telah menerima SST, diikuti Kedah sebanyak 93 projek dengan 92 projek menerima SST, manakala Johor merekodkan 47 projek dengan 45 projek telah menerima SST.
“Bagi Terengganu pula sebanyak 45 projek dan kesemuanya telah menerima SST. Pulau Pinang mencatatkan 30 projek dan kesemuanya telah menerima SST, diikuti Perak sebanyak 22 projek dengan 18 menerima SST.
“Selain itu, Pahang merekodkan 50 projek, Melaka (69), Kelantan (10), Perlis (lapan), Wilayah Persekutuan Labuan (tiga), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan masing-masing dua projek,” katanya.
Beliau menambah, jumlah projek yang menerima SST masing-masing adalah selaras dengan keseluruhan jumlah projek yang diperuntukkan.