Lapan maut dalam kemalangan bas di utara Rio de Janeiro

Gambar dikongsikan Jabatan Bomba Rio de Janeiro menunjukkan sebuah bas yang terbabas yang mengorbankan lapan orang di lebuh raya BR-040 di laluan turun Serra de Petropolis./ AFP

RIO DE JANEIRO, 17 Ogos – Sekurang-kurangnya 8 orang maut selepas sebuah bas terbalik di kawasan pergunungan curam berhampiran bandar Petropolis, utara Rio de Janeiro pada Ahad, menurut Jabatan Bomba Rio de Janeiro.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan penyelamat melakukan kerja penggalian untuk mengeluarkan penumpang yang terperangkap.
  • Media melaporkan dua lagi mangsa meninggal selepas dibawa untuk rawatan, jumlah korban dilaporkan 10 orang.
  • Mangsa yang maut termasuk sembilan wanita dan seorang kanak-kanak perempuan; kemalangan jalan raya maut kerap berlaku di Brazil.

Dalam kenyataan, jabatan itu berkata kemalangan berlaku pada awal pagi dan pasukan penyelamat terpaksa menjalankan kerja penggalian bagi mengakses serta mengeluarkan beberapa penumpang yang terperangkap.

“Sebanyak 49 mangsa direkodkan di lokasi kejadian, lapan daripadanya meninggal dunia,” menurut kenyataan itu.

Media tempatan bagaimanapun melaporkan dua lagi mangsa meninggal dunia selepas dibawa dari lokasi kejadian untuk mendapatkan rawatan, menjadikan jumlah korban yang dilaporkan 10 orang.

Menurut laporan media, mangsa yang maut termasuk sembilan wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.

Kemalangan jalan raya maut kerap berlaku di Brazil.

Pada Februari lalu, sekurang-kurangnya 16 orang maut selepas sebuah bas yang dalam perjalanan pulang dari festival keagamaan di timur laut Brazil terbabas sebelum terbalik.

Pada Oktober tahun lalu, 17 orang maut di negeri Pernambuco, timur laut Brazil, selepas pemandu sebuah bas hilang kawalan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.